Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membantah keras rampasan asetnya oleh kerajaan peralihan Sudan yang didakwanya tidak mengikut lunas undang-undang.
Menurut satu laporan Kerajaan peralihan separa junta pimpinan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok bertindak merampas tanah yang sepatutnya digunakan untuk membina ibu pejabat, bilik pejabat dan kediaman pekerja ekspatriat syarikat minyak itu yang dibeli ketika pemerintahan bekas Presiden Sudan, Omar Al-Bashir.
Menurut portal Middle East Monitor (MEMO), tanah tersebut didaftarkan di bawah nama anak syarikat Petronas di Sudan, Nada Properties Company Limited (NPCL) dan ketika ini, jawatankuasa antirasuah Sudan telah memindahkan hak milik syarikat itu kepada Kementerian Kewangannya.
Kerajaan Sudan bertindak merampas tanah Petronas yang dibeli ketika pemerintahan bekas Presiden Sudan, Omar Al-Bashir.
Petronas mendakwa tanah tersebut dirampas secara haram oleh kerajaan peralihan Sudan dan bersedia membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa jika tiada penyelesaian dapat dicapai.
Walau bagaimanapun, jawatankuasa antirasuah kerajaan itu kekal berpegang bahawa tanah tersebut dibeli secara tidak sah dan melibatkan kegiatan rasuah.
Sehingga kini, menurut MEMO, tiada maklumat yang dikongsikan kerajaan Sudan dengan pihak berkuasa Malaysia berkenaan dakwaan aktiviti korup Omar Al-Bashir, termasuk di Malaysia.
Pihak berkuasa Sudan turut merampas pejabat milik NCPL di negara itu.
Dalam rayuannya kepada kerajaan Sudan, Petronas membantah sekeras-kerasnya tindakan yang menurut mereka merupakan rampasan harta yang tidak sah selain turut mengkritik jawatankuasa antirasuah negara itu yang melakukan tuduhan tanpa asas dan justifikasi.
Tegas syarikat minyak itu, hartanya dibeli mengikut undang-undang dan rampasan yang dilakukan terhadap tanah miliknya tiada asas.
“Syarikat itu mahukan penyelesaian aman. Surat telah dihantar kepada kerajaan pada April lalu bagi memberikan tempoh berdamai selama 90 hari kepada kedua-dua pihak untuk berunding dan mencari penyelesaian.
“Surat tersebut menawarkan mekanisme resolusi pertikaian yang terkandung dalam Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Pelaburan yang ditandatangani kerajaan Sudan dan Malaysia,” lapor MEMO.
Petronas menegaskan, penyelesaian isu di mahkamah keadilan merupakan jalan terakhir bagi menjaga hubungan baik antara kedua-dua buah negara.
Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/10/sudan-rampas-aset-petronas/