Panas !!! Annuar Musa dakwa Zahid kini bawah pengaruh Anwar

Panas !!! Annuar Musa dakwa Zahid kini bawah pengaruh Anwar

Bekas Setiausaha BN, Annuar Musa mendakwa Umno kini berada di bawah pengaruh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Katanya, kenyataan media terbaru Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merupakan bukti bahawa parti itu kini dikuasai Pakatan Harapan.

“Selepas tersebar surat sokongan dan ikrar setia presiden Umno kepada Anwar yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong, kenyataan media ini merupakan satu lagi bukti pimpinan Umno kini berada di bawah pengaruh Anwar Ibrahim.

“Ini jelas membelakangi dasar parti tidak menyokong Anwar dan DAP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, melalui kenyataan media, Zahid atas kapasiti selaku pengerusi BN merayu agar Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang parlimen diadakan segera.

Bagaimanapun MIC mendakwa kenyataan Zahid itu kurang tepat.

Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata dia terkejut dengan kenyataan itu dan mengatakan mesyuarat BN pada Rabu lalu memutuskan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Seri Paduka berhubung sidang parlimen.

Untuk rekod, hubungan antara Umno dan Bersatu yang dipimpin oleh presidennya, Muhyiddin Yassin kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Keadaan ini bertambah keruh apabila Zahid dalam sepucuk surat bertarikh 26 Feb menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen.

Tanpa menyenaraikan Umno, Bersatu malam tadi memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan

‘Umno diheret ke arah Anwar dan DAP’

Mengulas lanjut, Annuar berkata kenyataan Zahid agar sidang parlimen diadakan dibuat kira-kira 24 jam selepas Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya memutuskan sekali lagi bahawa BN mengekalkan dasar tidak menyokong atau bersama PKR dan DAP.

Annuar berkata, ini jelas menunjukkan segala keputusan Umno tidak lagi dipatuhi, sebaliknya parti itu hanya cuba terus untuk menjayakan agenda peribadi.

“Ahli dan akar umbi dipersendakan pemimpin. Hasrat ahli ingin melihat semangat kesatuan parti-parti berteraskan perpaduan Melayu semakin kabur.

“Peranan Umno memperkasa muafakat bersama PAS semakin renggang – sedikit demi sedikit Umno diheret ke arah Anwar dan DAP.

“Kita semakin jauh dari aspirasi rakyat, terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.

Pada masa sama, dia turut mengulangi pendiriannya kepada keputusan parti untuk tidak menyokong Anwar dan tidak bersama DAP.

“Saya masih utuh mendukung setiap ayat dalam piagam Muafakat Nasional dan nota persefahaman Umno-PAS yang saya turut terlibat menggubal dan membuat pengisytiharannya,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/565398