Panas !!! Anak Samy Vellu gelar Sanusi sebagai ‘Donald Trump’ versi Malaysia

Perang mulut MIC dan Muhammad Sanusi Md Nor berterusan dengan bekas setiausaha agung parti itu, S Vellpaari, menuduh menteri besar Kedah mirip Donald Trump yang tamat tempoh sebagi presiden AS hari ini.

Kritikan terbaharu itu menyusul selepas Sanusi menuduh MIC sebagai mengikut tarian perkauman DAP dalam menuntut cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam tahun ini.

Semalam, Sanusi mengumumkan pembatalan cuti itu kerana sambutan perayaan Thaipusam yang lazim diadakan, dibatalkan berikutan negara diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengumuman Sanusi itu sekali gus mengundang bantahan daripada beberapa pemimpin MIC pusat.

Vellpaari berkata tindakan Sanusi sekali lagi menyerlahkan ketaksuban beliau dalam menolak apa sahaja dan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pemikirannya.

“Donald Trump telah mengosongkan Rumah Putih (kediaman presiden AS) tetapi Sanusi sudah memeluk Trumpism,” kata Vellpaari, anak kepada MIC, S Samy Vellu.

Di AS, Trumpism sering dirujuk sebagai orang yang bertindak melampau dan mengikut sesuka hati.

Vellpaari menuduh Sanusi sebagai mengambil tindakan itu untuk “membalas dendam” terhadap masyarakat India susulan kritikan meluas terhadap keputusannya merestui perobohan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah tahun lalu.

Sanusi berkata kuil itu dirobohkan kerana ia dibina tanpa kelulusan dan pihak kuil tidak mengendahkan notis yang dikeluarkan.

Vellpaari berkata keputusan Sanusi membatalkan cuti peristiwa untuk Thaipusam gagal mengambil kira bahawa penganut Hindu akan tetap menyambut perayaan itu di rumah masing-masing.

Beliau berkata penguatkuasaan PKP tidak menidakkan sambutan Thaipusam, sungguhpun ia diadakan pada skala yang lebih kecil.

“Tetapi penganut Hindu akan sukar berbuat demikian, jika tidak ada cuti peristiwa, seperti sebelumnya,” kata Vellpaari. – FMT