Panas !!! Ahmad Jazlan kekal pendirian hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin

Panas !!! Ahmad Jazlan kekal pendirian hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin

Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menafikan beliau diajak berbincang dan sepakat dengan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau merujuk Ahli Parlimen Umno dan BN, menteri serta timbalannya dalam kenyataan bersama Rabu lalu mengumumkan mereka bersetuju Parlimen bersidang semula seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau apa-apa pindaan bersesuaian.

Tetapi, mereka mahu sidang Parlimen itu hanya menumpukan isu rakyat mendepani pandemik dan bersetuju tidak akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, jika ia dikemukakan.

Jazlan berkata, kata sepakat itu tidak melibatkan semua wakil rakyat BN dan jika ada perbincangan dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu, ia hanya membabitkan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

“Ini bukan soal jawatan dan kedudukan yang kita perlu fikirkan, yang kena fikirkan ialah maruah parti. Apa gunanya mempunyai jawatan besar dan kedudukan tinggi, tetapi pada masa sama, parti kita semakin dilemahkan pihak lain?

“Kalau ada (kenyataan) Ahli Parlimen BN sedia menyokong kerajaan hari ini, saya tidak tahu kerana saya tidak pernah diajak berunding. Bagi saya, bila saya buat keputusan (tidak menyokong PN), saya tidak akan tarik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengumumkan keputusannya menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada 9 Jan lalu.

Jazlan berkata, beliau akan mengikut keputusan parti untuk menyokong atau tidak usul undi tidak percaya itu, jika dibangkitkan di Parlimen.

“Kalau apa-apa perkara tentang perkara itu, biar parti putuskan, kita akan ikut apa sahaja keputusan parti.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/27/saya-tak-diajak-bincang-tolak-usul-tak-percaya-pm-kata-ahmad-jazlan/