Operasi bas Rapid Kamunting ditamatkan, dana operasi berkurang

Selepas lima tahun beroperasi, Rapid Bus Sdn Bhd mengumumkan perkhidmatan bas Rapid Kamunting di Perak akan ditamatkan mulai 15 Jun depan kerana kekurangan dana serta permintaan.

Perkhidmatan bas yang mula diperkenalkan pada Mac 2016 itu membabitkan tiga laluan, iaitu laluan 10 (Taiping Loop), laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan laluan 30 (Bukit Jana – Kampung Boyan).

Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu berkata, sokongan dana daripada Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tamat pada 2019 dan pada masa sama pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri tidak menunjukkan minat meneruskannya.

Namun katanya, Rapid Bus meneruskan perkhidmatan atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun mengalami kerugian.

“Seperti juga syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan wabak Covid-19 yang dapat dilihat melalui kemerosotan jumlah penumpang kepada 30% sahaja.

“Rentetan daripada keadaan yang semakin meruncing tersebut, operasi Rapid Kamunting berhadapan cabaran getir untuk menampung kos pengoperasian,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, Rapid Bus memohon maaf kepada pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting susulan penamatan operasi itu.

“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan kami,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/31/selepas-5-tahun-operasi-bas-rapid-kamunting-ditamat-kerana-kurang-dana/