Dengki ke?”
Menjawab pertanyan Tuanku,
Kami tak dengki Tuanku, tapi mungkin kami bersedih hati bila ‘dicubit’ bonda sendiri.
Ampun Tuanku beribu ribu Ampun, sembah patik harap diampun. Kami rakyat sayang dan kasihkan Tuanku sekeluarga, mungkin ada diantara kami yang kasar menyanggah Tuanku tapi ketahuilah akarnya kami setia pada Raja dan Negara.. Cuma kami manusia biasa Tuanku kadang terluka kadang terhiris hatinya.
Akhir ini, polemik yang melanda negara semakin cabuk dan kami juga terkesan.
Ampun Tuanku,
Rakyat dalam kedukaan. Rakyat dalam tekanan. Kami hidup sekadar cukupnya. Kami sibuk menjaga sesama kami. Kami rindukan keluarga dan ibu bapa kami. Kami diberi bermacam janji, sudahnya kami dibantu wang kami sendiri, alih alih negara dikatakan sudah hampir miskin. Kerajaan ini seolahnya gagal Tuanku, maka kami dalam diam sebenarnya marah pada mereka yang gagal menjaga dan membangunkan negara ini.
Dalam kami sibuk menahan gelombang ketidaktetapan negara ini, segalanya diburukkan lagi dengan darurat yang entah kenapa mulanya dan entah bila sudahnya.
Tuanku,
Kami tertekan dengan ekonomi yang menyimpang, kes Covid yang semakin naik, Masjid dijarakkan Bazar dipenuhkan sedangkan sempadan negeri ditutup, dengan SOP yang double standard, dengan undang undang yang dibuat ‘overnight’, dengan segala ‘bantuan’ yang hanya janji sahaja. Ampun Tuanku, hatta sehelai mask pun patik tidak pernah dapat dikala pandemik ini dari kerajaan.
Hakikatnya Tuanku, ‘frontliners’ kita sudah penat. Pendidikan negara kita umpama karat. Ramai yang terjejas ekonomi keluarga. Rakyat juga lelah dengan pentadbiran lemah kabinet yang belanjanya besar.
Rakyat berkecil hati dengan ketidakupayaan kerajaan yang dibiaya dari wang rakyat juga Tuanku. Yang menjaga kami adalah dikalangan kami sendiri bukan Menteri bukan sesiapa, rakyat sendiri Tuanku.
Maka Tuanku,
Patik mohon tidak diperah limau pada luka kami ini, Che Minah Sayang umpama BONDA kami. Majoriti kami tidak pun berkisah sekiranya benar sejumlah vaccine telah diperolehi oleh Tuanku, kaum kerabat dan yang lainnya kerana sememangnya Tuanku merupakan tunjang negara.
Yang rakyat pohon, agar Tuanku juga dapat sama sama menyelusuri kesusahan dan kegusaran rakyat. Kasihlah pada kami Tuanku seperti mana kami kasihkan Tuanku.
Ampun Tuanku,
Hari ini Ayahanda Tun Mahathir dan rakan politiknya akan mengadap baginda Tuanku untuk membawa suara rakyat. Kami tidak minta wang ringgit, cuma pinta rakyat, demokrasi digerakkan semula secara adil. Kami pohon ditamatkan darurat dan Parlimen digerakkan semula agar negara ini dapat diselamatkan dari kucar kacir yang menimpanya. Semoga akhirnya negara tersayang ini diangkat tinggi dan diberi kerahmatan.
Ampun Tuanku, beribu ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Patik mohon ampun kiranya coretan ini mengundang murka di hati Tuanku.
Ampun Tuanku Seri Paduka,
Sembah takzim menjunjung tinggi,
Semoga sejahtera di atas takhta,
Doa rakyat setulus hati.
Semoga Allah swt mengurniakan kesihatan yang baik dan melanjutkan usia Kebawah Duli Tuanku serta Raja Permaisuri Agong.
Sembah kasih sayang,
Tun Fiqa Mohammad
Sumber: