Noor Hisham risau kes Covid-19 kembali parah

Noor Hisham risau kes Covid-19 kembali parah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penularan Covid-19 di negara ini kembali meruncing dan memerlukan setiap individu terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Menerusi ciapan di Twitter beliau berkata orang ramai perlu kembali kepada amalan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak bersembang pada jarak dekat (close conversation).

“Manakala amalan 3W – kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” katanya.

Noor Hisham menerusi ciapan berasingan pula memaklumkan kes baru positif Covid-19 hari ini mencatatkan 2,881 kes berbanding 3,788 kes semalam.

Katanya Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 759 kes diikuti Sarawak (445) dan Kelantan (442). Perlis pula menjadi negeri tunggal tanpa jangkitan hari ini.

Dalam kenyataan medianya, Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, sebanyak 2,462 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 380,442 kes manakala kes aktif kini 29,631.

Katanya sejumlah 337 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 176 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala terdapat pertambahan 15 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,521 orang.

Jelasnya terdapat 14 kluster baharu yang turut dikenal pasti hari ini melibatkan masing-masing empat kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) serta dua kluster keagamaan.

Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Sungai Nirai, Sarawak; Kluster Umas, Sabah; Kluster Seri Jati, Melaka dan Kluster Jalan Sepat di Perak, manakala kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Garuda, Johor; Kluster Jalan Sungai Sembilang, Selangor; Kluster Jalan Kilang Dua, Sabah dan Kluster Durin, Sarawak.

Kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Sebatu dan Kluster Air Budi di Melaka; manakala Kluster Lestari Perdana Tujuh, Selangor dan Kluster Saujana, Terengganu pula berkait dengan kategori kluster pendidikan lain; Kluster Persiaran Sinaran Ilmu, Johor (kluster pendidikan tinggi); dan Kluster Long Jegan, Sarawak (kluster institusi pendidikan KPM).

Beerita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572970