Niat hantar gambar lucah untuk sakitkan hati, sekali kena denda RM8,000

Niat hantar gambar lucah untuk sakitkan hati, sekali kena denda RM8,000

Seorang ahli perniagaan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menghantar gambar lucah kepada seorang wanita, empat tahun lalu.

Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Chang Yoon Siong, 31, dari Puchong, Selangor yang mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didenda RM1,600 bagi setiap pertuduhan.

Menurut kesemua pertuduhan terbabit, lelaki itu didakwa menghantar gambar lucah menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak menyakitkan hati wanita tersebut pada 8 Jan 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/24/sia-sia-hantar-gambar-lucah-ahli-perniagaan-didenda-rm8000/