Netizen balas Hadi : Langkah Sheraton bukan langkah kanan

Netizen balas Hadi : Langkah Sheraton bukan langkah kanan

Rata-rata warga maya mengecam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu sebagai langkah kanan.

Reaksi orang ramai itu dapat dilihat pada ruangan komentar bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan di Facebook rasminya hari ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu selamba mendakwa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sangat rapuh.

“Sebenarnya kami bekerja siang dan malam ketika PH sedang bergaduh siang dan malam.

“Kami menerima rakan yang keluar daripada kolam PH yang dikeruhkan airnya oleh tangan-tangan mereka sendiri yang saling bercakaran,” katanya yang juga menganggap PH seperti ‘burung kasuari padang pasir’.

Sehubungan itu, ramai menganggap Pas seperti kelazimannya akan menggunakan pelbagai alasan termasuk memanipulasi ayat al-Quran bagi menonjolkan keputusan politik mereka betul.

“Macam-macam dalil menghalalkan cara,” komen Mohd Azizie Abd Aziz.

Sementara itu, Akram Yusof membetulkan dakwaan Hadi berhubung rekod kemenangan sebenar PH pada PRU 2018 sehingga mampu menumbangkan BN.

“Sudahlah (Pas) kalah PRU, rupanya dah lama rencana untuk rampasan kuasa. Kemenangan PH sangat rapuh?

“PH menang dengan majoriti yang agak besar. Celah mana rapuhnya? Dasar tebuk atap. Sesuailah kerjasama dengan pengkhianat,” tempelak Akram.

Tin kosong

Terdapat juga yang membandingkan ketokohan Abdul Hadi dengan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 2015.

Hadi yang sejak 40 tahun lalu terkenal dengan amanat ekstrem kepada ahli dan penyokong Pas yang antara lain menuduh Umno sebagai parti kafir dianggap warga maya tidak memberi sebarang sumbangan kepad negara ini yang boleh dijadikan contoh melainkan berpolitik hanya menguntungkan diri sendiri.

“Walaupun mendapat gelaran YB dan Tuan Guru tapi sayang sekali setiap kenyataan dan tindakan Haji Hadi ini gagal mengundang rasa hormat dari rakyat dan masyarakat umum.

“Tidak seperti Tuan Guru Nik Aziz dulu. Dari situ kita sudah dapat menilai siapa ahli politik yang mendakwa ulamak ini.

“Itulah Hadi Awang. Dari dulu kini dan seterusnya,” tempelak Wan Zulkufli Abu Bakar.

Dalam masa sama, ada turut berasa sedih dengan keadaan kepimpinan Pas pada masa ini yang dianggap telah dibutakan dunia.

“Majoriti komen di sini (Facebook Abdul Hadi) negatif, bermaksud ramai dah meluat dengan parti Pas ni.

“Rakyat tak bodoh. Keputusan Pas meletakkan prinsip perjuangan Islam ke tepi (arak, judi, aurat, hudud) untuk jadi kerajaan menjadikan Pas parti tin kosong.

“Tiada guna sokong Pas. Rindunya pada TGNA (Tuan Guru Nik Aziz),” kata Razak Merican pula.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/ramai-kecam-hadi-yang-anggap-langkah-kanan-bukan-langkah-sheraton/