Nekad !!! Pengusaha bas persiaran Kedah jual bas demi kelangsungan hidup

Nekad !!! Pengusaha bas persiaran Kedah jual bas demi kelangsungan hidup

Sebahagian pengusaha bas persiaran terpaksa menjual bas milik mereka berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff berkata, perkara tersebut dilakukan demi kelangsungan hidupnya dan keluarga.

“Penutupan banyak sektor sebelum ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga secara tidak langsung menyebabkan pengusaha bas persiaran hilang mata pencarian.

“Memang kerajaan berikan kelonggaran dengan kewujudan moratorium tetapi gaji pemandu perlu dibayar meskipun bas tidak bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sumbangan hamper makanan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit di Pantai Murni, Yan pada Ahad.

Ahmad Ruslan berkata, kerajaan Kedah juga perlu melihat permasalahan itu sebagai sesuatu yang serius kerana pengusaha bas persiaran melibatkan komuniti agak besar.

“Kesemua pengusaha dan pemandu mempunyai ahli keluarga yang perlu diberikan makan minum.

“Tambahan pula, sesi persekolahan sudah dibuka semula, keperluan wang saku anak-anak ke sekolah juga perlu dilihat sama,” katanya.

Sementara itu, Sabri berkata, pihaknya hadir menyantuni golongan tersebut selain berusaha meringankan beban dihadapi mereka.

“Hari ini kita bersama Pertubuhan Darul Ikhlas Gurun mengumpulkan 60 pengusaha dan pemandu bas untuk diberikan bantuan kit makanan dan juga sumbangan wang tunai.

“Diharapkan sedikit sumbangan ini mampu meringankan bebanan yang ditanggung mereka,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126314/BERITA/Nasional/Terpaksa-jual-bas-persiaran-demi-kelangsungan-hidup