Negeri tak cecah 80 peratus vaksin tak dapat rentas negeri?

Rentas negeri tidak seharusnya dibenar di negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus apabila kelonggaran itu diumumkan kerajaan selepas negara mencapai 90 peratus dewasa divaksin dalam tempoh terdekat.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata kerajaan perlu melihat semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu kerana risiko jangkitan COVID-19 di negeri yang belum mencapai tahap vaksinasi adalah tinggi.

Katanya, sama juga dengan negeri yang perlu melihat lebih mendalam risiko dihadapi termasuk kebimbangan jangkitan kepada kanak-kanak.

Negeri tak cecah 80 peratus vaksin tak dapat rentas negeri?

Kerajaan dijangka mengumumkan kebenaran merentas negeri dalam tempoh terdekat.

“Merentas negeri akan menyaksikan orang ramai bergaul dan keadaan itu boleh merebakkan virus memandangkan ramai pelajar bawah 12 tahun belum divaksin.

“Rentas negeri tidak sepatutnya dibenarkan di kawasan berisiko tinggi seperti negeri yang kadar vaksinasinya kurang 80 peratus.

“Ini bagi mengelak jangkitan kepada rakyat yang belum divaksin,” katanya kepada BH, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya yakin tempoh untuk membenarkan rentas negeri sudah semakin hampir dan akan terus diumumkan sebaik negara mencapai 90 peratus vaksinasi.

Setakat semalam, data COVIDNOW menunjukkan beberapa negeri masih di bawah 80 peratus lengkap divaksin dengan Sabah (44.1 peratus), Kelantan (46.8 peratus), Kedah (54.5 peratus), Pahang (54.6 peratus), Terengganu (56.3 peratus) dan Perak (56.3 peratus).

Bagi golongan remaja, hanya Sarawak dan Labuan mempunyai vaksinasi melebihi 70 peratus.

Secara keseluruhan, golongan dewasa yang lengkap vaksinasi sudah mencapai 88 peratus tetapi penggunaan katil di unit rawatan rapi dilihat mencapai 65.1 peratus, alat bantuan pernafasan (42.6 peratus) dan katil hospital (68.9 peratus).

COVIDNOW juga mempamerkan kadar kematian dalam tempoh dua minggu ini adalah 53.6 peratus membabitkan mereka yang tiada vaksinasi, belum lengkap vaksin (17 peratus) dan lengkap divaksin (29.4 peratus).

Mereka yang berusia 60 tahun ke atas paling ramai meninggal dunia iaitu 64.8 peratus.

Dr Sharifa Ezat berkata, sekiranya rentas negeri dibenarkan, rakyat bukan sahaja perlu diingatkan untuk mematuhi SOP tetapi juga mesti membuat kawalan kendiri termasuk saringan COVID-19 sebelum aktiviti itu dilakukan.

“Sebelum rentas, mereka perlu membuat saringan dan jika disahkan positif, keperluan kuarantin diri wajib dilakukan,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu menegaskan mereka yang belum divaksin tidak boleh merentas negeri.

Beliau berkata, pematuhan SOP perlu berlaku pada tahap maksimum seperti tidak menanggalkan pelitup muka dan mengelak kesesakan sama ada di kawasan awam atau premis.

“Ramai yang terlupa dan masing-masing cuma sedar pandemik masih ada bila kes positif COVID-19 muncul.

“Kita perlu selalu mengingati bahawa varian baharu ini masih ada dan penting untuk mengelak jangkitan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/872645/jangan-buka-negeri-belum-cecah-80-peratus-vaksinasi

BACA JUGA : “Menteri jangan syok sendiri”, bidas Tajuddin kepada Menteri Pengangkutan

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Negeri tak cecah 80 peratus vaksin tak dapat rentas negeri? […]