Negeri PN pun ada menteri penyelaras?, tanya Mahfuz

Negeri PN pun ada menteri penyelaras?, tanya Mahfuz

Amanah menyifatkan perlantikan Takiyuddin Hassan sebagai ‘menteri penyelaras’ antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah sebagai “pelik dan tidak munasabah”.

Naib Presiden Mahfuz Omar berkata, tidak ada sebarang keperluan untuk perlantikan itu memandangkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kedah diterajui Perikatan Nasional (PN).

“Kalau ada seorang menteri penyelaras antara Putrajaya dan kerajaan negeri pimpinan pembangkang seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, atau Selangor ia mungkin munasabah dan boleh diterima untuk pastikan perlaksanaan pembangunan lancar,” kata beliau kepada FMT.

Namun, dalam kes Kedah, tidak ada keperluan melantik menteri penyelaras.

“Kalau untuk projek pembangunan (di Kedah) sepatutnya tanggungjawab kerajaan negeri untuk mohon apa sahaja dari mana-mana menteri tanpa melalui menteri penyelaras.

“Dia (kerajaan Kedah) boleh terus mohon di peringkat pusat berkaitan apa projek yang nak dijalankan pihak kerajaan negeri,” kata Mahfuz.

Beliau berkata perlantikan Takiyuddin sebagai menteri penyelaras untuk hal ehwal Kedah, membawa andaian Putrajaya tidak menyakini kepimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

“Bagi saya, mungkin menteri besar Kedah ada kelemahan tertentu sehingga tak ada kemampuan nak berunding dengan menteri lain,” katanya.

Beliau mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghuraikan keperluan melantik Takiyuddin sebagai menteri penyelaras untuk Kedah.

“Perdana menteri kena jelaskan betul atau tidak Takiyuddin dilantik menteri penyelaras antara pusat dan Kedah, sedangkan negeri lain tidak ada (menteri penyelaras) dan Kedah bukan negeri pembangkang,” katanya,

Terdahulu, Wan Rohimi Wan Daud, selaku setiausaha politik Takiyuddin berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) itu dilantik menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kedah pada 1 Sept 2020.

Wan Rohimi berkata demikian selepas tersebar tangkap layar perbualan Takiyuddin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengenai sebuah projek pembangunan di Kedah.

Perbualan mereka dilaporkan merujuk kepada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat swasta sebagai rakan usahasama dalam projek berkenaan.

Wan Rohimi mendakwa tangkap layar perbualan dua menteri itu sengaja dipetik “di luar konteks” dengan niat “curang” untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak berkaitan.

Jelas Wan Rohimi, Takiyuddin selaku penyelaras berperanan sebagai pengukuh hubungan, pemudah cara, atau pengerusi bersama dalam hal-hal tertentu antara Kedah dan Putrajaya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/15/apa-perlunya-takiyuddin-dilantik-menteri-penyelaras-untuk-negeri-pn-tanya-mahfuz/

COMMENTS

Wordpress (0)