Nasihat buat Pakatan Harapan, fokus PRU dan ini yang perlu dimulakan…

Mulakan perbincangan agihan kerusi di kalangan parti komponen. Ianya tidak sukar kerana agihan ketika PRU14 sudah boleh dijadikan asas. Hanya kerusi-kerusi dari PPBM dan Warisan sahaja yang perlu diagihkan kepada 3 parti komponen PH.

Pengarah Komunikasi dari ketiga-tiga parti komponen perlu mengadakan Sidang Media secara bersama dan berkala (setiap dua minggu atau setiap bulan) bagi menjelaskan segala isu-isu politik yang melibatkan kepentingan negara, rakyat, dan Pakatan Harapan.

Unit Media Pakatan Harapan perlu ditubuhkan segera dengan peruntukan yang munasabah bagi menggerakkan dan menyebarkan ‘messagging’ kepada rakyat secara bersepadu.

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu lebih fokus di dalam menentukan halatuju dan pendekatan Pakatan Harapan. Setiap gerakan politik hendaklah diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden secara konsensus.

Program turun padang atau roadshow oleh pemimpin ketiga-ketiga parti perlu dibuat lebih kerap dan disesuaikan dengan SOP pandemik.

Sekiranya perkara-perkara asas ini tidak dapat digerakkan dalam masa yang terdekat, saya fikir rombakan besar-besaran perlu dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi ketiga-ketiga parti komponen Pakatan Harapan.

Para pemimpin utama Pakatan Harapan juga wajar diperingatkan tentang amanah kepimpinan, akauntabiliti, dan kebertanggungjawaban. Harapan dan pengorbanan para pendokong jangan dipersia-siakan.

Buck up or back out!

Sumber :