Naib Presiden Pas sekolahkan Mahathir, Ku Li dan Anwar

Pernah menjadi ‘orang berbisa’ dalam dunia politik dan kepimpinan negara, sewajarnya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak sesekali perlu mengganggu apatah lagi menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga semalam pakatan bekas Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen Gua Musang dan juga usaha Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti tidak mampu menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin

Secara sinisnya, Mohd Amar berkata, paling jelas sekali dapat dilihat adalah usaha Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh di saat-saat akhir untuk menggagalkan kelulusan Belanjawan 2021 di Parlimen tidak tercapai.

“Sekarang ni Datuk Seri Anwar ataupun Dr Mahathir mahupun Tengku Razaleigh kena fokus kepada Pilihan Raya Umum 15 (kalau nak tukar kerajaan). Tak perlu ganggu kerajaan PN dalam masa beberapa bulan ini.

“Buat masa ini juga lebih baik kita fokus kepada unsur memulihkan ekonomi dan membantu rakyat mengatasi kesan penularan pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, beliau bersyukur apabila strategi pembangkang mahu menjatuhkan kerajaan PN menerusi Dewan Rakyat kecundang setelah bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan melalui undi belah bahagi.

“Kita rasa syukur kerana belanjawan diluluskan meskipun terdapat usaha untuk menghalang. Dari segi kedudukannya kekal 111 (ahli Parlimen bersetuju) dan 108 (ahli Parlimen tidak setuju).

“Dahulu, waktu perubahan speaker pun itulah kedudukannya dan kedudukan ini kita tidak berubah sampai semalam.

“Maknanya dakwaan Anwar bahawa dia ada angka yang cukup (untuk tukar kerajaan) itu memang tak adalah. Itulah kesimpulan mudah dan usaha untuk menjatuhkan kerajaan PN ini gagal, ia tidak berjaya sampai semalam,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Amar tidak menolak kemungkinan akan ada usaha-usaha lain lagi bakal dilakukan pembangkang semata-mata mahu melihat persepakatan kerajaan PN tumbang dengan mudah.

Namun katanya, berdasarkan rekod lalu semua ‘drama’ berkenaan tidak berjaya dan menampakkan secara nyata terutamanya kepada Anwar bahawa beliau tidak boleh mendapat sokongan kuat untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

“Sebab itu saya nak nasihatlah semua pihak supaya tumpu kepada usaha membantu rakyat keluar daripada (kesan) Covid-19, pulihkan ekonomi dan kalau nak tukar kerajaan sekalipun tunggu pada PRU15,” katanya.

Secara peribadi, Mohd Amar berkata, melihat kepada landskap politik semasa negara dan sebagainya berkemungkinan PRU15 akan diadakan awal tahun depan.

“Kita jangka pilihan raya umum tak lama dah. Saya pun jangka memang dekat. Saya rasa awal tahun depan Perdana Menteri akan bubar Parlimen,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115060/BERITA/Politik/Nasihat-Pas-buat-Tun-M-Ku-Li-dan-Anwar

COMMENTS

Wordpress (0)