Sebuah muzium di Denmark dilaporkan menuntut seorang artis mengembalikan sekitar USD$83,000 (RM 347k) yang diberikan secara tunai selepas dia menghasilkan kanvas kosong yang berjudul ‘Ambil Duit dan Lari”.
Menurut BBC, artis yang bernama Jens Haaning itu telah diupah oleh Muzium Kunsten untuk menghasilkan semula karya seni lama dengan menggunakan wang kertas.
Muzium itu dilaporkan meminta Jens Hanning menghasilkan semula karya miliknya yang menggambarkan gaji tahunan di Denmark dan Austria.
Namun sebaliknya artis itu telah mengambil wang tunai tersebut dan menghasilkan kanvas yang kosong.
Reaksi muzium tersebut dikatakan bercampur-baur apabila melihat karya berkenaan.
“Dia kenakan staf kurator saya dan dia juga sedikit membuat saya marah, tetapi saya juga tertawa kerana ianya benar-benar melucukan,” kata Lasse Andersson, Pengarah Muzium di Bandar Aalborg.
Walau bagaimanapun, Andersson menjelaskan bahawa wang itu perlu dibayar semula selepas pameran berakhir.
“Ianya adalah wang muzium dan kami mempunyai kontrak yang menyatakan bahawa wang perlu dikembalikan pada 16 Januari,” katanya.
Namun begitu, Haaning, 56, telah berjanji untuk menyimpan wang tersebut.
“Tugas saya telah selesai, jadi sebab itu saya ambil duit mereka,” katanya.
“Saya sarankan orang lain yang mempunyai keadaan kerja yang menyedihkan seperti saya untuk melakukan perkara yang sama,” katanya sambil menambah bahawa mencipta semula karya-karya lamanya akan membuatkan dia kehilangan 25,000 kroner.
Tetapi Andersson memberitahu BBC bahawa dia menyelar dakwaan Haaning yang menyatakan muzium tidak bersetuju untuk membayarnya secara berpatutan.
“Kami baru saja menandatangani perjanjian dengan persatuan seniman Denmark yang menekankan bahawa artis dibayar apabila mereka membuat pameran,” katanya.
“Saya rasa Jens telah melanggar perjanjian.”
Berita Penuh : https://siakapkeli.my/2021/09/30/muzium-kena-game-upah-pelukis-rm-347k-hasilkan-lukisan-tapi-yang-dapat-karya-kosong-bertajuk-ambil-duit-lari/