Muhyiddin yakin PN akan ‘menang besar’ dalam PRU akan datang

Muhyiddin

Muhyiddin yakin PN akan ‘menang besar’ dalam PRU akan datang.Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen yang gabungan itu akan membuat “kemunculan semula” dalam PRU akan datang.

Muhyiddin yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bulan lalu itu malah membayangkan dia akan mengetuai gabungan PN dalam PRU15.

Bagaimanapun, sehingga waktu itu tiba, Muhyiddin berkata gabungan itu akan terus menjadi anggota kerajaan untuk meneruskan usaha memulihkan negara akibat wabak Covid-19.

“…Sehinggalah tiba suatu masa pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih Kerajaan yang baru.

“Pada masa itu, PN dan saya sebagai pengerusinya akan mengambil bahagian dalam pilihan raya. Insya-Allah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun kelima Bersatu, malam ini.

Justeru, dia menggesa semua anggota Bersatu untuk melakukan persiapan dan menumpukan usaha untuk memperkukuh parti di peringkat akar umbi.

Muhyiddin

Selain itu, dia juga menggesa ahli parti itu untuk terus membantu rakyat serta memperkukuh kerjasama dengan parti komponen PN, khususnya di peringkat bahagian dan cawangan.

Muhyiddin ketika tiba di Istana Negara di hari peletakan jawatannya
“Dasar kita ialah kita tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan sokongan parti komponen PN dan parti rakan lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Buktikan budaya politik Bersatu ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat, politik prihatin, politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki, bukan politik perkauman yang melampau, bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos lalu, selepas hilang majoriti sokongan ahli parlimen.

Ia selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti.

Kedudukannya digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob. Kesemua ahli parlimen Bersatu turut menyokong Ismail untuk memegang jawatan itu.

Mengapa Bersatu sokong Ismail

Muhyiddin turut memberi penjelasan berhubung sokongan tersebut dalam ucapannya malam ini.

Dia berkata jika sokongan tidak diberikan kepada Ismail, keadaan politik negara akan terus terumbang-ambing memandangkan tiada sesiapa yang mendapat sokongan majoriti.

“Kedua, PH dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi Kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.

“Kerana itu saya telah berbincang dengan ahli parlimen Bersatu dan pimpinan parti dalam PN iaitu PAS, Star, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baru,” katanya lagi.

Dalam perutusan khas di hari peletakan jawatannya, Muhyiddin berkata dia tidak akan bersekongkol dengan kumpulan “kleptokrat” semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Dalam satu lagi perutusan khas sebelum itu, iaitu pada 4 Ogos, dia mendakwa ada pihak tertentu yang mendesaknya agar mencampuri urusan mahkamah.

Dia bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama secara khusus dalam kedua-dua perutusan tersebut.

‘Kerajaan tidak gagal’

Muhyiddin juga sekali lagi menegaskan bahawa pentadbirannya tidak gagal dalam menangani wabak Covid-19.

Katanya, strategi utama pentadbirannya iaitu program vaksinasi kini telah menunjukkan hasilnya dengan hospital di Lembah Klang – dahulunya menjadi kawasan penularan paling buruk – mula menunjukkan pengurangan pesakit dan sektor ekonomi, sosial dan sukan mula dibuka secara beransur-ansur.

“Rakyat mula menarik nafas lega kerana mereka sudah boleh mula bekerja, berniaga dan mencari sumber pendapatan.

“Tetapi masih ada pihak yang kata kita gagal. Kita sebenarnya tidak gagal. Mereka yang nak lihat kita gagal. Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid-19, mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan Kerajaan.

“Saya tahu ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan mereka. Apatah lagi ahli-ahli Bersatu yang mahu saya terus kekal memimpin kerajaan PN. Tetapi saya mesti patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila saya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, saya mesti meletak jawatan dan itulah yang saya lakukan,” katanya lagi.

Berita Penuh : Anak kelar leher ibunya dengan parang, alasannya sungguh mengejutkan…