Muhyiddin terus pertahan ordinan darurat banyak bantu negara hadapi Covid-19

Sistem kesihatan negara terus berdiri teguh dan tidak runtuh semasa pandemik COVID-19 kerana adanya Ordinan Darurat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui ordinan tersebut, kerajaan boleh mengguna pakai pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk membantu memerangi pandemik.

“Langkah-langkah sebegini adalah untuk menentukan supaya sistem kesihatan tidak runtuh pada waktu COVID-19 ini.

“Sejak dari awal sampailah sekarang, dengan adanya bantuan daripada kerajaan untuk membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Akta Darurat yang ada, sistem kesihatan kita masih boleh berdiri, ia tidak runtuh.

“Yang kita bimbangkan begitu (sistem kesihatan runtuh) kerana strategi yang kerajaan ambil ialah untuk menentukan apa saja permasalahan yang berkaitan COVID-19 dapat kita uruskan dengan baik dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan persediaan operasi Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pada Jumaat.

Muhyiddin meninjau keadaan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 ketika melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. - Bernama

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berpuas hati dengan kadar imunisasi vaksin COVID-19 di seluruh negara yang kini beliau sifatkan berjalan dengan baik.

Bahkan, beliau optimis kadar vaksinasi mampu meningkat kepada 250,000 sehari dan dijangka mencecah 300,000 ke 400,000 sehari pada Julai.

“Langkah yang kita ambil ini secara holistik iaitu ‘whole of society, whole of government’ untuk menentukan kita berjaya memerangi wabah ini.

“Saya merayu sekali lagi kepada pihak yg belum daftar agar segera mendaftar, kita bagi jaminan mereka, kita akan berikan suntikan vaksin apabila vaksin ini sampai. Saya harap negara dapat ‘herd immunity’ sebelum akhir tahun.

“Dengan keadaan begitu, mungkin keadaan negara bertambah baik, ekonomi kita boleh pulih, kesihatan rakyat boleh betambah baik dan sebagainya, itulah yang saya harap,” ujarnya.

ICU di HPKK yang akan mula beroperasi pada Selasa ini dapat merawat sehingga 20 pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.

Sekiranya keadaan makin buruk, hospital tersebut mampu menyediakan sehingga 48 buah katil untuk merawat pesakit.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ordinan-darurat-pastikan-sistem-kesihatan-negara-tidak-runtuh-muhyiddin-302686

COMMENTS

Wordpress (0)