Muhyiddin puji MIC sebab sokong PN

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan MIC membuat keputusan yang “tepat dan rasional” dengan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dalam ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan ke-74 MIC hari ini, Muhyiddin juga menyuarakan harapan agar parti itu terus menyokong PN pada masa akan datang.

Kenyataan itu di saat Umno memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU15. Setakat ini, parti komponen BN lain iaitu MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) belum menyatakan persetujuannya.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu diundang untuk menyampaikan ucapan dalam perhimpunan itu yang diadakan di Klang, Selangor.

Menyampaikan ucapan melalui telesidang, dia memuji MIC kerana memahami cabaran yang dihadapi negara dalam melawan wabak Covid-19.

“Saya fikir pimpinan MIC faham akan situasi yang dihadapi oleh negara dan rakyat pada masa ini dan oleh sebab itu terus memberikan sokongan kepada Kerajaan PN untuk mengurus negara dan membantu rakyat.

“Ini adalah satu pendirian yang tepat dan rasional. Saya percaya masyarakat India di negara ini dapat menilai pendirian MIC dengan sebaiknya dan menyokong pendirian ini,” katanya.

Muhyiddin turut menggesa agar MIC memainkan peranan dalam apa yang disifatkannya sebagai politik perpaduan.

“Sebagai parti politik, sumbangan paling besar yang boleh dilakukan oleh MIC ialah dengan mengutamakan politik perpaduan demi khidmat kepada rakyat, bukan politik berpecah-belah demi kepentingan yang sempit.

“Kita telah memasuki era baru dalam politik negara kita. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama,” katanya.

Walaupun hanya menyebutnya secara umum, kenyataan itu boleh dilihat sebagai serangan tersirat terhadap Umno yang sebelum ini mengeluh pihaknya tidak diberi peranan besar dalam kerajaan PN.

Dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, pimpinan parti itu dengan jelas menyatakan parti itu perlu berada dalam kedudukan dominan dalam kerajaan yang dibentuk selepas PRU15.

Menurut Muhyiddin, semua parti ada peranan dalam “era politik baru”.

“Kerana itu, kita perlu mengamalkan budaya politik yang berasaskan kepada persefahaman, perundingan dan konsensus dalam mencari jalan terbaik untuk memelihara kestabilan politik, membela nasib rakyat dan memacu kemajuan negara.

“Dalam apa sahaja hala tuju politik yang diambil oleh parti politik, pertimbangan utamanya mestilah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan individu atau kelompok yang kecil,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569286

COMMENTS

Wordpress (0)