Muhyiddin beri amaran, akan tanding semua kerusi lawan Umno jika berkeras

Muhyiddin beri amaran, akan tanding semua kerusi lawan Umno jika berkeras

Perikatan Nasional (PN) bersedia meletak calon di semua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) sekiranya Umno terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak mempunyai halangan sekiranya Umno memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 nanti.

“Lebih baik Umno ambil semua 222 kerusi parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah. Namun, kalau Umno mahu ambil semua, saya (PN) pun hendak ambil semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh, sebab ini politik.

“Bukan tak penting isu kerusi, penting kalau tiada kerusi tidak dapat tubuh kerajaan tetapi saya tidak mahu jadi sombong, nanti rakyat marah. Saya faham dengan kenyataan pemimpin Umno ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) kerana saya juga pernah ada di situ suatu masa dulu.

“Kita sebagai ahli politik seharusnya mendahulukan kepentingan rakyat termasuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat pandemik Covid-19, menyelesaikan pemberian vaksin dan mengukuhkan ekonomi rakyat, berbanding isu lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Hari ini media melaporkan Umno tidak akan mengalah dan memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada PRU-15.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, semua kerusi Umno adalah milik parti itu dan ia tidak akan sesekali dilepaskan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, beliau tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya akan memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama soal keperluan asas dan ekonomi.

“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas, sebahagian kehidupan saya adalah bergelumang dalam politik, saya boleh berbahas dengan sesiapa saja, namun itu saya elakkan buat masa ini.

“Saya nak elak begitu bukan saya takut, tetapi kerana rakyat resah, hidup susah nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan.

“Soal pertama menguruskan masalah Covid-19, soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ekonomi,” katanya.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/688611/pn-sedia-bertanding-semua-kerusi-jika-umno-berkeras