Muhyiddin adakan lawatan rasmi 5 hari ke Arab Saudi, UAE mulai esok

Muhyiddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula esok hingga 11 Mac.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua beliau ke luar negara selepas lawatan satu hari ke Indonesia pada Feb lalu.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata Muhyiddin adalah ketua kerajaan yang pertama dijemput Raja Salman Abdulaziz untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan Persidangan Al-Ula yang bersejarah pada Jan lalu.

Kementerian itu berkata Muhyiddin akan berada di Arab Saudi bermula 6 Mac hingga 9 Mac dan UAE dari 9 hingga 11 Mac. Beliau akan ditemani oleh Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein.

Di Arab Saudi, Muhyiddin akan mengadakan sesi mengadap secara maya dengan Raja Salman dan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Beliau juga akan mengerjakan umrah di Mekah.

Di UAE, Muhyiddin akan bertemu Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Pemerintah Dubai dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

Lawatan ke kedua-dua negara itu akan memperkukuhkan hubungan dua hala dan perdagangan antara kerajaan negara itu dan Malaysia melalui pelbagai cadangan.

Ia termasuk penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (High level

Strategic Committee – HLSC) di peringkat Menteri Luar Negeri dengan Arab Saudi sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala untuk perundingan.

Kementerian itu berkata kedua-dua kerajaan iuga akan memperkukuh kerjasama berkaitan dengan haji dan umrah melalui pemeteraian inisiatif “Mecca Road Service”.

“Inisiatif ini akan memudahkan proses pra-pelepasan ibadah Haji dan umrah bagi Jemaah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan passport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.”

Malaysia juga akan mencadangkan penubuhan Gabungan Keselamatan Makanan Antarabangsa (IFSC) dengan UAE untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan global.

Memorandum persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia dengan UAE akan ditandatangani.

Delegasi Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di tanah air.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/05/pm-adakan-lawatan-rasmi-ke-arab-saudi-uae-mulai-esok/