MP Tebrau sokong Muhyiddin, PKR hantar surat tuntutan RM10 juta

PKR menghantar surat tuntutan kepada Steven Choong susulan tindakan ahli parlimen Tebrau itu meninggalkan parti berkenaan dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata melalui tuntutan itu Choong dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.

“Dia perlu menjelaskan pampasan tersebut dalam tempoh tujuh hari, jika tidak tindakan mahkamah akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 28 Feb lalu Choong – bersama Ahli Parlimen Julau Larry Sng – berpaling tadah daripada PKR untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong PN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Choong dan Sng memberikan akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan sokongan mereka.

Choong menjelaskan dia menyokong kepimpinan Muhyiddin kerana mahu menyelesaikan isu-isu rakyat.

Ia berlaku ketika jumlah sokongan untuk Muhyiddin selaku perdana menteri berkurangan dan didakwa hilang majoriti di parlimen.

Sementara itu menurut Lee, Sng pula tidak diberikan tuntutan serupa oleh PKR kerana ahli parlimen terbabit tidak bertanding sebagai calon parti itu ketika pilihan raya umum lalu.

Pada masa sama, Lee turut mengemas kini tuntutan pampasan RM10 juta terhadap ahli parlimen PKR yang mengkhianati mandat dengan bertindak menyertai PN.

Katanya proses tersebut masih berjalan mengikut prosedur yang ada.

Menurut Lee PKR membantah permohonan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan yang dibuat oleh parti terhadapnya, dengan alasan ia bertentangan dengan undang-undang.

“PKR membantah permohonan ini yang tidak berasas dan tanpa merit. Kedua-kedua pihak sedang dalam proses membalas afidavit.

“Mahkamah telah menetapkan pengurusan kes yang seterusnya ialah pada 1 April ini untuk mendapatkan arahan yang lanjut berkenaan kes ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/564988

COMMENTS

Wordpress (0)