MP Putatan nafi keluar PKR seperti tersebar

Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari pada Selasa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tuduhan beliau akan melompat parti itu, katanya, tidak berasas dan hanya bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baiknya.

“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu… namun saya berterima kasih kerana mereka buat saya ‘popular’,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli PKR Sabah khususnya di kawasan Putatan tidak mempercayai tuduhan berkenaan yang menurutnya hanya bertujuan mahu memecah-belahkan parti berkenaan.

“Saya nasihatkan agar jangan sesekali mendengar atau percaya apa yang ditulis dalam laman web kerana itu hanya tuduhan semata-mata,” tegasnya.

Dakwaan yang menyatakan Awang Husaini akan keluar parti timbul selepas dua Ahli Parlimen PKR, Larry Sng dari Julau, Sarawak dan Stephen Choong dari Tebrau, Johor, bertindak keluar parti pada Ahad lepas dan menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126448/BERITA/Politik/Ahli-Parlimen-Putatan-nafi-akan-keluar-PKR

COMMENTS

Wordpress (0)