MoU Kerajaan dan PH lakar sejarah, merangkumi 6 bidang utama

MoU Kerajaan dan PH lakar sejarah, merangkumi 6 bidang utama.Politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) Tranformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh serta mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu merangkumi aspek Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan
Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Menurut beliau, MoU yang dimeterai itu sekali gus melakar satu sejarah negara.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

MoU

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan itu bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan
inklusif.

“Setinggi penghargaan kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengetepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/09/mou-transformasi-kestabilan-politik-lakar-sejarah-negara/

BACA: MB Terengganu dedah lebih 100 guru tolak vaksin di Terengganu