Moratorium : Para peminjam perlu hubungi bank masing-masing – Muhyiddin

Muhyiddin

Golongan B40, individu kehilangan pekerjaan dan perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) diberikan pilihan untuk mendapatkan moratorium automatik selama tiga bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan tersebut turut boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari pada lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion

“Insya-ALLAH, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok (Selasa). Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.

“Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Isnin.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, kerajaan akan turut melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion.

Menurutnya, melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

“Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan,” ujarnya.

Katanya, kerajaan juga bersetuju untuk memberi Bantuan Khas secara ‘one-off’ sebanyak RM500 ringgit kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing.

Jelasnya, bantuan yang berjumlah RM68 juta itu akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) juga akan meneruskan program Mara PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021.

Katanya, peminjam di bawah program tersebut boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium.

“Bagi usahawan Mara yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141581/BERITA/Nasional/Golongan-terjejas-diberi-pilihan-moratorium-automatik

COMMENTS

Wordpress (0)