Moratorium : Cakap saja mahu jaga bank – Isham Jalil

Moratorium : Cakap saja mahu jaga bank – Isham Jalil

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Aziz hari ini berkata kerajaan tidak wajar arah bank untuk beri moratorium sebab kerajaan perlu bayar pampasan kepada bank.

Dia memetik Seksyen 3 dan 5 Ordinan Darurat 2021.

Kenyataan Tengku Zafrul ini tidak tepat.

Pertama, Seksyen 3 menyebut bahawa kerajaan atau orang-orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Agong boleh memberikan arahan mengenai pampasan.

Perkataan ‘boleh’ ini tidak bermaksud wajib, perlu atau semestinya.

Ia hanya bermaksud kerajaan mempunyai pilihan sama ada untuk memberikan pampasan atau tidak.

Mengaku akan hal ini, Zafrul menambah lagi dengan berkata, hanya kerana kita boleh tidak bermaksud kita wajar buat.

Apa yang saya ingin kata kepada Zafrul ialah kewajaran atau tidak ini sebenarnya bergantung pada agenda kerajaan—siapa yang Zafrul dan kerajaan ingin jaga: bank atau rakyat?

Dalam tempoh darurat, kadangkala kerajaan perlu mengambilalih sumber atau harta-harta persendirian untuk sementara waktu untuk kegunaan dan kepentingan awam.

Untuk kegunaan sumber atau harta-harta ini, sama ada pampasan dibayar atau tidak adalah bergantung kepada budi bicara kerajaan dan bergantung kepada kerugian yang ditanggung.

Namun di kala wabak atau perang, di mana rata-rata semua pihak pun menanggung kerugian, maka kerajaan boleh membuat keputusan untuk tidak membayar apa-apa pampasan langsung.

Ini kerana tidak masuk akal untuk kerajaan membayar pampasan kepada semua pihak yang rugi.

Dan juga tidak masuk akal untuk kerajaan membayar pampasan kepada hanya sesetengah pihak sahaja manakala pihak-pihak yang lain yang juga menanggung kerugian tidak dibayar pampasan.

Contohnya, kerajaan tidak boleh hanya bayar pampasan kepada bank-bank sahaja apabila peniaga-peniaga kecil yang rugi kerana mereka diarah tutup kedai oleh kerajaan semasa darurat tidak pula dibayar pampasan.

Seksyen 5 Ordinan Darurat pula menyebut jumlah pampasan ini boleh ditaksir oleh orang yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong, dan taksiran pampasan ini tidak boleh dicabar atau dipersoal di mana-mana mahkamah.

Dalam hal ini, pihak yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tentunya adalah Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

Dan Menteri Kewangan boleh mentaksirkan pampasan ini berjumlah kosong (atau tiada pampasan) oleh kerana keuntungan dan rizab bank yang tinggi (walaupun dalam tempoh wabak tahun lepas bank masih membuat untung berbillion ringgit) yang boleh menampung moratorium selama beberapa bulan, berbanding kerugian oleh pihak-pihak lain yang tidak mempunyai keuntungan tinggi dan tidak mempunyai rizab.

Zafrul kata dia rela guna duit pampasan untuk bantu rakyat.

Namun sebenarnya dalam tempoh darurat di bawah Ordinan Darurat, dia boleh saja arahkan bank untuk memberikan moratorium kepada rakyat tanpa pampasan.

Persoalannya hanyalah mahu atau tidak mahu sahaja.

Jika mahu jaga bank, jangan gunakan rakyat sebagai alasan. Cakap saja mahu jaga bank.

Berita Penuh : https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/319851