Moratorium : Betul ke kerajaan kena bayar pampasan?, tanya bekas menteri kewangan

Moratorium : Betul ke kerajaan kena bayar pampasan?, tanya bekas menteri kewangan

Alasan kerajaan terpaksa membayar pampasan tidak diperlukan kepada institusi perbankan negara sekiranya mahu moratorium automatik diberikan kepada golongan peminjam didakwa bersifat berat sebelah kepada rakyat.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada institusi perbankan susulan pelaksanaan moratorium automatik selama enam bulan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, Mac tahun lalu.

Jelas beliau, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu semata-mata merujuk Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi meminta bank memberikan moratorium automatik, khusus kepada golongan B40 dan M40.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berpandangan BNM boleh mengadakan perbincangan dengan semua institusi perbankan di negara ini untuk mencari titik penyelesaian terbaik.

“Pada PKP 1.0, tiada pelaksanaan darurat dibuat, namun institusi perbankan bersetuju untuk memberikan kemudahan moratorium pinjaman bank selama enam bulan secara automatik dan kita tidak dengar pula sebarang bayaran pampasan dibuat kerajaan.

“Mengapa pula bila darurat dilaksanakan, kerajaan bangkitkan soal terpaksa bayar pampasan kepada bank? Mengapa BNM tidak berbincang sahaja dengan institusi bank sebagaimana PKP 1.0?

“Lagipun, pernahkah kita dengar ada bank terpaksa gulung tikar disebabkan terpaksa beri moratorium automatik? Hakikatnya, tahun lepas, bank-bank sebenarnya tidak rugi, cuma rekod keuntungan bersih sahaja sedikit berkurangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan kerajaan bakal menanggung kos pampasan tidak diperlukan sama sekali kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium automatik diberikan kepada rakyat dalam tempoh sekatan pergerakan penuh PKP.

Amiruddin menambah, kerajaan perlu menyedari pemberian automatik selama tiga bulan sebenarnya akan membolehkan sektor ekonomi domestik kembali bernafas terutama dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, walaupun ada sebahagian peminjam bank dalam golongan B40 dan M40 tidak memerlukan kemudahan moratorium, kemudahan itu membolehkan mereka memiliki pendapatan boleh guna tambahan sekali gus membantu merancakkan ekonomi domestik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meminta kerajaan mengemukakan bukti berbentuk data dan perangkaan bagi menyokong dakwaan hanya 20 peratus sahaja daripada golongan peminjam bank benar-benar memerlukan kemudahan moratorium automatik.

Ujarnya, kerajaan tidak boleh berterusan mengemukakan alasan tidak konsisten semata-mata untuk menjaga kepentingan institusi perbankan.

“Sewaktu pelaksanaan PKP 1.0 tahun 2020, mana ada kerajaan umum kena bayar pampasan untuk membolehkan rakyat menerima kemudahan moratorium automatik selama enam bulan.

“Sekarang bila laksana darurat, kerajaan maklum kena bayar pampasan pula? Alasan menteri tidak konsisten. Sama juga dakwaan hanya 20 peratus perlukan moratorium automatik, kerajaan kena tunjuk dan buktikannya dengan bukti kajian data dan perangkaan.

“Kalau betul, beri sahajalah 20 peratus golongan peminjam termiskin kemudahan moratorium automatik. Mengapa perlu beri alasan pampasan?” katanya.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menegaskan bank tidak akan berdepan ancaman kerugian sekiranya kemudahan moratorium automatik diberikan kepada peminjam.

“Institusi perbankan boleh melaksanakan program penstrukturan semula pinjaman dengan tempoh pinjaman akan dilanjutkan sekiranya moratorium diberikan.

“Kena ingat kemudahan moratorium bukan bermaksud peminjam tidak perlu membayar pinjaman balik bagi setiap bulan dikecualikan, sebaliknya ia sekadar proses penangguhan bayaran pinjaman sahaja,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/142746/BERITA/Nasional/Moratorium-PKP-10-kerajaan-kena-bayar-pampasankah