Mineral baru : MB Kedah kata tak akan tebang pokok balak

Mineral baru : MB Kedah kata tak akan tebang pokok balak

Kerajaan Kedah memberi jaminan tiada pokok balak akan ditebang dalam proses penerokaan mineral rare earth elements (REE) di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor malah bertegas, tiada sebatang pokok balak pun akan ditebang dalam proses itu.

Menurutnya, ia berikutan permit yang dilulusan bukanlah permit melombong tetapi hanya permit meneroka.

“Tambahan pula proses mengeluarkan REE tidak memerlukan aktiviti perlombongan seperti melombong bijih timah, emas, batu besi dan lain-lain.

“Hanya pihak yang mempunyai teknologi tinggi mampu melakukan kerja mengekstrak REE. Saya dimaklumkan dengan kemajuan teknologi sekarang, tidak ada sebatang pokok balak pun akan ditebang dalam aktiviti mengeluarkan REE,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, pihaknya juga difahamkan kawasan yang dikatakan mempunyai REE itu sudah dibalak sepenuhnya dua tahun lalu yang sebahagiannya adalah tanah milik syarikat kerajaan (GLC) negeri.

“Jangan ingat orang lain tamak haloba dengan kayu balak seperti pihak tertentu,” katanya.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri itu yang dianggarkan bernilai RM62 billion daripada keseluruhan RM43 trillion hasil bumi di negara ini.

Katanya, mineral jenis REE dan tidak beradioaktif itu didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

Pengumuman mengenai perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang ia akan menyebabkan berlakunya pembalakan di kawasan Hutan Simpan di Kedah.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa, kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik membabitkan 20,234.3 hektar yang dibimbangi menyebabkan gangguan biodiversiti.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649389/sebatang-pokok-balak-pun-tidak-akan-ditebang-mb-kedah