Mesyuarat MKT Umno : Adakah Zahid Hamidi berani?

Mesyuarat MKT Umno : Adakah Zahid Hamidi berani?

Mesyuarat MKT Umno : Adakah Zahid Hamidi berani?. Ada pepatah lama menyebut, kerja bertangguh tidak menjadi dan kerja beransur tidak bertahan.

Ia memberi maksud sesuatu kerja yang dilakukan secara bertangguh-tangguh tidak mungkin memberi hasil yang diharap-harapkan.

Pesan orang tua-tua pula selalu mengingatkan, kerja yang bertangguh tanda tidak bersungguh.

Maksud ingatan itu ialah jika kita bersungguh mahu melakukan sesuatu perkara, ia mesti dilakukan dengan segera dan tidak menangguh-nangguhkannya.

mesyuarat mkt

Menangguh-nangguh untuk meminang seorang gadis atau menghadiri temujanji penting yang telah dipersetujuinya misalnya, tidak lain menunjukkan rasa hati yang tidak bersungguh atau hanya separuh-separuh.

Petang ini, 7 Julai 2021, MKT UMNO dilaporkan akan mengadakan mesyuaratnya secara dalam talian untuk menentukan hala tuju parti itu dalam kerajaan PN.

Mesyurat ini adalah sebagai tindak balas berhubung kata dua selama 14 hari yang diberikan Biro Politik UMNO agar kerajaan PN memanggil Sidang Parlimen dengan segera atau sebelum tempoh darurat berakhir pada 1 Ogos depan.

Walaupun Mahiaddin Md Yasin dalam kenyataan media dua hari lalu bersetuju mengadakan Sidang Parlimen pada 26 Julai ini, tetapi UMNO dalam banyak reaksinya dilaporkan tidak begitu berpuas hati kerana ia hanya diadakan selama lima sehari, selain tiada ruang dibuka untuk perbahasan, bertanya soalan dan pengundian.

Lantaran itu, mesyuarat MT petang ini akan memutuskan sama ada UMNO perlu terus berada dalam kerajaan atau segera meninggalkannya.

Mandat PAU2020 ialah UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRU15 akan datang serta dalam masa yang sama memberi kuasa kepada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi serta MT untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk keluar daripada kerajaan.

Sebelum ini, ura-ura Zahid Hamidi untuk membawa keluar UMNO daripada kerajaan PN sudah banyak kali diperkatakan dan diheboh-hebohkan.

Ia termasuk terdedahnya surat beliau bersama Najib Razak kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri melalui apa yang dikatakan sebagai jajaran baharu politik UMNO.

Namun demikian, setiap kali perkara itu heboh dan menjadi bualan, ia tidak juga menjadi kenyataan kerana Zahid Hamidi dilihat seperti masih takut-takut dan teragak-agak untuk bertindak berani, meskipun beliau saban hari dilihat mengkritik dan tidak setuju dengan banyak perkara yang dilakukan kerajaan PN.

Untuk kesekian kalinya, petang ini sekali lagi keputusan UMNO dan keberanian Zahid Hamidi menjadi penantian seluruh rakyat.

Sudah beberapa kali bertangguh-tangguh, tetapi dengan kedudukan kerajaan PN yang teruk sekarang ini, kegagalannya sudah merata dan kebencian rakyat bagai tak tertahan lagi, harapan seluruh rakyat ialah agar Zahid Hamidi kali ini benar-benar mampu muncul sebagai Pendekar Jawa yang sungguh-sungguh berani berpencak dengan tikamannya mampu membuatkan lawannya tersembam mati.

Meski difahami bahawa kebimbangan utama Zahid Hamidi untuk membawa UMNO segera keluar daripada kerajaan PN ialah kerana sentimen “No Anwar No DAP” yang masih berakar dalam sesetengah golongan dan itu barangkali yang menyebabkan langkahnya selalu tertangguh-tangguh, tetapi beliau harus ada keberanian untuk meyakinkan partinya tentang matlamat lebih besar yang ingin dicapai iaitu kembali dominan dalam politik negara ini.

Matlamat itu lebih mungkin dapat dicapai hanya dengan tidak bertangguh lagi meninggalkan kerajaan dengan harapan agar PRU dapat diadakan dalam tempoh yang tidak terlalu lama daripada sekarang.

Soal sama ada selepas kejatuhan PN itu akan berlaku PRU atau tidak atau sebuah kerajaan baharu perlu dibentuk atau Anwar akan menjadi Perdana Menteri, ia biarlah menjadi kebijaksanan Yang Dipertuan Agong membuat penentuan.

Selepas ditarik sokongan dan kerajaannya tumbang, biasanya Perdana Menteri sama ada akan memohon pembubaran Parlimen atau meletak jawatan.

Begitu pun, kata putus akhir adalah di tangan Agong sama ada sesuai untuk membiarkan PRU diadakan atau membentuk kerajaan baharu buat sementara waktu.

Yang penting, dengan sanggup keluar meninggalkan kerajaan sekarang, UMNO dapat membuktikan kepada pengundi tentang keseriusannya untuk kembali menjadi dominan dan bukan ingin kekal sebagai penumpang semata-mata dalam kerajaan seperti keinginan beberapa pemimpinnya yang pro Bersatu.

Keluar daripada kerajaan hanya setelah Parlimen terbubar akan menyukarkan UMNO untuk meyakinkan pengundi ketika berkempen lantaran mereka sendiri berada dalam kerajaan dan merupakan sebahagian daripada kerajaan sebelumnya.

Sudah tentu, kegagalan kerajaan PN yang membuatkan rakyat benci dan meluat sekarang adalah juga kegagalan UMNO dan tidak munasabah untuk pengundi memilih mereka yang sanggup bersekongkol dan bersubahat bersama gaji lumayan hingga ke saat-saat akhir.

Tetapi, dengan keluar sekarang, UMNO mampu merasionalkan rakyat agar mereka dijadikan pilihan pengundi lantaran lebih awal menjauhkan diri daripada kegagalan kerajaan PN.

Selain itu, dengan tidak lagi menangguhkan keputusan keluar kerajaan, UMNO boleh menumpukan serangan dan tembakan yang lebih tersusun dan bertalu-talu bagi melemahkan kedudukan kerajaan PN.

Dengan itu, barulah ada peluang untuk menang dan jika menunggu hingga saat Parlimen terbubar baru hendak keluar meninggalkan kerajaan, seterusnya baru ketika itu jugalah mahu memulakan serangan – percayalah – UMNO tidak akan mampu ke mana-mana dalam matlamat perjuangannya.

Berita Penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/07/07/jika-mahu-menang-pru-jangan-bertangguh-lagi-umno-mesti-segera-pisahkan-dirinya-daripada-kegagalan-pn.html

BACA JUGA : Panas !!! Pergolakan dalam Umno, akhirnya Zahid buka mulut