Menteri Agama pertahan keputusan tangguh umrah terhadap umat Islam

Idris

Menteri Agama pertahan keputusan tangguh umrah terhadap umat Islam.Keputusan kerajaan menangguhkan umrah sukar untuk diputuskan namun harus diteruskan demi kepentingan semua pihak susulan ancaman varian Omicron.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menegaskan, keputusan itu tidak ada kena mengena dengan elemen diskriminasi terhadap orang Islam seperti didakwa segelintir pihak.

Menurutnya, keputusan itu dilakukan sepakat bersama antara agensi-agensi berkaitan dengan mengambil kira cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai ancaman terbaharu Covid-19.

“Ini masalah orang ramai, masalah negara, tidak timbul soal diskriminasi atau yang lain..(dakwaan) tak patut sangatlah.

“Janganlah tohmah, kata kita nak tindas orang Islam. Apa yang dikemukakan oleh pihak KKM adalah data. Kita boleh tengok bagaimana wabak ini dibawa daripada negara-negara, ini semua data, bukan apa yang mereka (KKM) cakap itu dalam bentuk yang tidak ada fakta,” katanya selepas melawat mangsa-mangsa banjir di Sekolah Agama Kuala Paya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ada dakwaan mengatakan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah berkuatkuasa 8 Januari ini satu diskriminasi terhadap umat Islam.

Selain itu, Idris berkata, ada cadangan sebelum ini untuk mewajibkan rombongan umrah dikuarantin di hotel atau tempat-tempat tertentu berbanding kuarantin rumah sebelum ini.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan memandangkan tempat kuarantin yang diperlukan terlalu banyak dan kekurangan logistik, tambahnya.

“Sehari memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 katil. Akhirnya keputusan (tangguh murah) terpaksa diambil oleh pihak berkuasa. Kita tidak mahu merebaknya penyakit ini, yang boleh mendatangkan masalah lebih banyak lagi (pada masa depan),” katanya.

Justeru, Idris meminta rakyat bersikap terbuka dengan keputusan kerajaan memandangkan ia dibuat berdasarkan kepentingan orang ramai.

BACA JUGA :

Melombong Karbon Dioksida di permukaan bulan, bakal jadi realiti?
Wanita tak sangka cincin dibeli RM48 dahulu kini berharga RM3.75 juta
[Video] Aksi cemas penunggang motosikal hanyut ketika cuba redah banjir

Artikel ini disiarkan pada 04/01/2022