Menantu celaka : Racun ibu mertua sebab sakit hati sering kena marah

Gara-gara tak tahan sering dimarah, seorang menantu bertindak di luar kawalan apabila membunuh ibu mentuanya dengan cara meletakkan racun haiwan ke dalam makanan yang dimakan oleh mangsa pada Ahad.

Selain warga emas itu, tiga kucing peliharaan mangsa turut ditemui mati dalam kejadian yang berlaku di Desa Lebung Itam, Wilayah Sumatera Selatan, Indonesia.

Menurut laporan, racun tersebut dicampurkan ke dalam lauk ikan pindang salai yang dimasak mentuanya kerana didorong rasa marah yang membuak-buak.

Gambar sekadar hiasan: Lauk ikan pindang salai

Ketua Polis Daerah, AKBP Alamsyah Pelupessy yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis mendapat laporan daripada penduduk kampung sekitar jam 2 petang mengenai mangsa, Noni, 61, yang maut diracun.

Mangsa kemudiannya ditemui mati oleh pihak polis dalam keadaan mulut berbuih bersama beberapa ekor kucingnya.

“Mangsa mati dengan mulut berbuih setelah memakan makanan yang dihidangkan oleh menantunya sekitar jam 11.00 pagi dan di luar rumah turut dijumpai tiga ekor kucing yang mati,” kata Alamsyah.

Jelas beliau, soal siasat mendapati motif suspek bertindak sedemikian adalah disebabkan rasa sakit hati terhadap mangsa yang sering memarahinya.

“Pelakunya adalah Dewi Asmara berusia 45 tahun, punca kejadian adalah kerana mereka tinggal bersama dan sering berlaku pertengkaran.

“Ketika ditanya, suspek mengakui bahawa dia telah mencampurkan racun biawak sebanyak satu sudu ke dalam kuali ikan pindang salai yang dimasak ibu mentuanya,” tambah beliau.

Sejurus makan, ibu mentuanya terus meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian tanpa sempat dibawa ke hospital.

Sekiranya sabit kesalahan, suspek bakal berdepan hukuman mati atau penjara selama 20 tahun berdasarkan Artikel 340 Kanun Jenayah mengenai pembunuhan yang dirancang dengan hukuman mati maksimum.

Berita penuh : https://siakapkeli.my/2021/03/09/sakit-hati-sering-dimarah-ibu-mentua-maut-dipercayai-diracun-menantu-letak-racun-dalam-lauk-ikan/

COMMENTS

Wordpress (0)