Kalau pasal berdolak-dalik, berdalil dan berfatwa politik, saya tabik spring kepada Pas. Apabila menguntungkan, tidak ada apa yang haram tapi kalau merugikan, semua haram. Orang Kedah kata, ‘pasai pa hang pi dok caghi bala jengok-jengok kegheta Fod Renja masa singgah Jughu beli nasik kandaq Pelita?’
Bila Mahiaddin Md. Yasin rampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH), President Pas Abdul Hadi Awang kata kerajaan tebuk atap. Tapi bila dilantik jadi Duta Khas bertaraf menteri dia suruh kakitangan awam berhenti kalau tidak selesa dengan kerajaan. Sekarang khabarnya dia terlantar di Insitut Jantung Negara (IJN). Moga-moga segala-galanya dipermudahkan.
Dua, tiga hari lepas, Setiausaha Agongnya, Takiyuddin Hassan pula kata, kerjasama Pas-Umno dalam Muafakat Nasional (MN) adalah ibarat adik-beradik sedarah sedaging manakala hubungan dengan Bersatu merupakan adik-beradik sesusuan. Dulu kata Umno “kafir” dan Bersatu khadam DAP.
Kalau pasal bercakap, Pas “nombor one”. Tapi minta maaflah kalau saya kata, sesetengah pemimpin Pas ini macam rusa masuk kampung bila dapat kuasa. Dia tidak tahu apa hendak buat.
Kalau setakat makan pucuk ubi atau minum air tidak apalah. Tapi kalau kerbau, lembu dan kambing betina pun hendak dicabul susahlah sikit pasal Pas ini Parti Islam.
Tapi nampaknya selera dan nafsu pemimpin Pas hebat. Kereta hendak yang mewah saja. Tidak kira hasil negeri tidak cukup dan banyak rakyat jelata papa kedana. Kalau wanita pula mesti kategori artiste dan jelitawan. Nampak sangat mereka sedang mabuk dibuai hedonisme ala Melayu Baru.
Undang-undang pun tidak berapa hormat sampai ada yang kena denda tidak kut SOP Covid-19. Yang terbaru kena tahan di sekatan jalan raya khabarnya cuba merentas sempadan negeri. Polis Terengganu sahkan yang pemimpin Pas berpangkat Menteri diperiksa di SJR. Menteri kontroversi itu kemudian ancam akan saman polis pasal dedahkan identiti dia. Realitinya polis tidak dedah pun orang ramai sudah tahu.
Oleh kerana guna label agama tapi selera dan nafsu rakus, buat apa pun tidak kena. Masa bersekedudukan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) dituduh jadi alat kepada kafir. Bila bersama kerajaan PN dituduh halalkan arak dan judi.
Sama ada Abdul Hadi berpelukan dengan Lim Kit Siang ketika dalam PR atau dengan Mahiaddin dalam PN, tidak sepatutnya memeranjatkan kita kalau kita faham psikologi dan strategi kepemimpinan Pas.
Pas keluar PR pada tahun 2015 kerana tidak tahan dengan diayah Umno yang menuduhnya bekerjasama dengan “kafir”. Pas bertanding PRU 2018 secara bersendirian. Selera dan nafsu Pas kuat tapi tenaga lain cerita. Ia bertanding 157 kerusi Parlimen tapi menang 18 saja. AMANAH bertanding 34 menang 11. Bila PH tubuh kerajaan dan orang AMANAH jadi Menteri dan Timbalan Menteri, Pas menerima kemaluan yang sangat besar.
Tiga faktor yang mendorong Pas bersekongkol dengan Mahiaddin dan konco-konconya merampas kuasa melalui “Sheraton Move” adalah hendak jadi Menteri dan Timbalan Menteri macam AMANAH, bencikan DAP dan tidak mahu Anwar Ibrahim naik jadi Perdana Menteri.
Tidak seperti pemimpin AMANAH yang lebih sejagat dan sofistikated, ramai pemimpin Pas tidak dapat menyesuaikan diri dengan pangkat dan kuasa. Mereka juga tidak nampak cemerlang dalam tugas-tugas pentadbiran. Sebaliknya sesetengah daripada mereka menjadi terkenal kerana hal-hal peribadi dan tingkah laku luar biasa.
Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/amanah-lebih-sejagat-pas-jadi-terkenal-kerana-hal-peribadi/