Lengahkan pembukaan parlimen adalah satu penderhakaan

Melengahkan pembukaan parlimen adalah satu bentuk penderhakaan. Pemuda Umno Malaysia menganggap kegagalan kerajaan mengadakan sidang parlimen secepat mungkin sebagai tindakan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Justeru ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pergerakan itu akan mendesak kepimpinan tertinggi Umno untuk menyatakan pendirian sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

“Pemuda Umno uga akan mendesak kepimpinan tertinggi Umno untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan Umno untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-raja Melayu sebagaimana fasal ketiga perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu selepas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin,” katanya.

Istana Negara berpendapat langkah itu perlu bagi membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dalam responsnya terhadap titah Agong berkata, walaupun Istana Negara berpendapat parlimen wajar dibuka secepat mungkin, baginda tidak menyatakan sebarang tarikh untuk itu.

Asyraf Wajdi berkata istilah “secepat mungkin” yang digunakan Agong dalam penzahiran sebelum ini sudah amat jelas memberikan indikasi baginda mahu parlimen dibuka segera.

Katanya, ia diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Raja-raja Melayu yang menzahirkan sokongan terhadap pendirian Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Pemuda amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalik dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Agong dan raja-raja pemerintah.

“Bagi Pemuda Umno, sidang parlimen ini amat mustahak disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan tuntutan rakyat yang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid-19 dapat diperbahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil mereka yang dipiilih melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya lagi.

Oleh itu, kata Asyraf Wajdi, Pemuda Umno mendesak kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan parlimen bersidang sebelum darurat tamat 1 Ogos ini.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/579610

COMMENTS

Wordpress (0)