‘MB sekarang tak nampak muka’, keluh penarik beca Terengganu

Penarik beca di Pasar Payang Kuala Terengganu mengeluh kerana tiada arah untuk menambah sumber pendapatan mereka yang kian merosot selepas negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Mereka mendakwa hanya mampu mengharapkan ihsan simpati orang ramai untuk memberi sumbangan ekoran bantuan kerajaan negeri ditarik sejak dua tahun lalu.

Pemandu beca yang dikenali sebagai Pak Wahab, 76, berkata, sejak Aidilfitri lalu kerajaan negeri sama sekali tidak menghulurkan sumbangan kepada mereka seperti tahun-tahun sebelum ini.

Penarik beca, Pak Wahab
“Sekarang ni banyak sedih. Sedih sangat. Pelancong dah lama tak datang, pengunjung dalam negeri pun tak ada. Dulu hari-hari penuh. Sekarang ni tak ada orang naik. Kita orang beca pun kering.

“Dah empat hari tak ada seorang pun naik. Mereka datang tengok-tengok je. Kadang ada orang turun kereta bagi duit RM10. Itulah pendapatan kami.

“Tapi sumbangan kerajaan negeri tak ada. Sumbangan Aidilfitri pun tak ada. Elaun jauh sekali,” luahnya ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.

Pak Wahab berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mahupun wakilnya tidak pernah sekali bertanya khabar atau memberi bantuan kepada penarik beca di negeri itu.

Dia juga kecewa kerana sudah setahun lebih sejak surat permohonan bantuan diutarakan ke pejabat MB, namun tiada respon sehingga hari ini.

Menurutnya, jika dahulu warga penarik beca memperoleh bantuan RM200 sebulan, tetapi sekarang tiada bantuan yang diterima dan sepenuhnya bergantung kepada hasil pendapatan sendiri.

“Dulu ada elaun RM200 sebulan. Sekarang tak ada dah. Kita tak tahu pasal apa. Kita pernah minta dengan wakil rakyat, (dia kata) in shaa Allah ada. Tapi in shaa Allah saja lah. Dekat setahun dah.

“Hantar surat ke (pejabat) MB dah setahun lebih, tak ada jawapan apa. Turun sini pun tidak. Kalau MB dahulu mari juga tengok, tapi MB kali ini terus tak nampak muka. Semenjak dia memerintah dua tahun setengah ni tak ada lagi sampai sini,” katanya.

Hashim Omar
Sama seperti seorang lagi penarik beca, Hashim Omar, 69 yang terpaksa bergantung kepada pendapatan menarik beca untuk menyara keluarga dan anak seramai lapan orang.

Dia mengharapkan agar kerajaan memberi semula bantuan sebanyak RM200 kepada penarik beca terutama ketika pandemik yang menyukarkan mereka memperoleh pendapatan lebih.

“Pendapatan tak ada. Sehari naik seorang je. Ada lah juga RM5. Sekarang susah cari makan, tapi kita terpaksa juga turun. Kalau ada orang beri duit lebih, Alhamdulillah,” katanya.

Kassim, 65 yang sudah bekerja selama lebih 40 tahun juga mengadu pernah ditolak permohonan untuk mendapatkan bantuan kerana prosedur yang ketat.

Dia juga merasai pengalaman sama apabila terpaksa bergantung pada pendapatan seharian dan ihsan orang ramai yang mahu menyumbang kepada mereka.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/mb-dulu-mari-juga-jenguk-mb-sekarang-tak-nampak-muka-luah-penarik-beca/