Keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang yang semakin memburuk pada saat jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat dan meninggal dunia di hospital meningkat saban hari. HTAR Klang sedang bergelut untuk menangani jumlah pesakit yang postif Covid-19 dan meninggal dunia yang sudah melewati kapasiti.
Pada ketika ini Kerajaan bukan sahaja perlu menambah infrastruktur kesihatan seperti fasiliti Unit Rawatan Rapi (ICU), tangki oksigen, alat ventilator dan katil pesakit dinaik taraf, tetapi Kerajaan wajib menambah kontena sejuk beku bagi membolehkan mayat pesakit Covid 19 ditempatkan secara teratur.
Saya telah menerima panggilan telefon daripada beberapa orang waris keluarga pesakit Covid 19 yang telah meninggal dunia yang menzahirkan rasa dukacita mereka tentang tatacara pengurusan mayat di HTAR Klang.
Bilik mayat di HTAR Klang yang telah berada pada tahap kapasiti penuh telah menyebabkan mayat pesakit Covid 19 hanya ditempatkan di atas lantai secara berlapis.
Amat memilukan apabila tatacara pengurusan jenazah tidak diurus dengan baik.
Amat mendukacitakan apabila keluarga waris pesakit Covid 19 tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang telah meninggal, ditambahkan lagi proses tatakelola pengurusan mayat yang mengambil masa berhari-hari selepas pesakit meninggal dunia.
Pihak hospital perlu segera menguruskan mayat untuk proses pengkebumian mengikut agama masing-masing agar waris dapat memberi penghormatan terakhir.
Ini sediki sebanyak dapat mengurangkan kesedihan waris yang telah kehilangan ahli keluarga.
Sesuatu yang tidak masuk akal apabila pihak KKM dan HTAR tidak dapat membuat persediaan awal sewajarnya apabila kes harian positif Covid 19 di Klang menunjukkan peningkatan setiap hari sejak beberapa bulan yang lalu.
Pengurusan krisis yang sangat lemah dan kurang koordinasi menyebabkan keadaan di HTAR semakin parah.
Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang wajar memaklumkan dan memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor sendiri jika kelembapan daripada pihak KKM untuk membuat persediaan awal mendepani krisis ini.
Nyawa rakyat sekali lagi menjadi taruhan jika pengurusan krisis dan bencana Covid 19 tidak dijalankan secara kolektif dan koordinasi yang baik bersama semua pihak.
Sumber :
BACA JUGA : Dana RM11 bilion untuk bangun 5G boleh guna lawan Covid-19 dulu, kata MP