Maszlee gesa insentif PdPR diberikan, jangan beban guru dengan kerja kerani

Maszlee gesa insentif PdPR diberikan, jangan beban guru dengan kerja kerani

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk menimbangkan segera insentif bagi meringankan beban guru sepanjang tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata majoriti guru terlibat telah menyatakan keresahan mereka dalam usaha memastikan murid tidak keciciran sepanjang negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu lagi, isu insentif kepada golongan guru telah beliau bangkitkan berkali-kali, sama ada di dalam sidang Parlimen, perbahasan Belanjawan 2021, mahupun di dada-dada media.

“Guru-guru terpaksa mengadap laptop sepanjang hari seperti duduk dalam kelas, meskipun persediaan untuk PdPR lebih mencabar dan kompleks berbanding kaedah bersemuka.

“Lebih malang lagi mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli data tambahan, membeli alat bantu mengajar dan lain-lain keperluan untuk PdPR selain dari berkongsi data dan peranti untuk anak-anak mereka sendiri belajar,” katanya lagi.

Selain itu, Maszlee berkata bagi membantu anak-anak murid yang tiada capaian internet, guru terpaksa mengeluarkan duit kocek sendiri untuk mencetak helaian kerja atau aktiviti yang akan diedarkan.

Tambah beliau, ada di antara guru yang menghantar tugasan dari rumah ke rumah demi memastikan anak-anak murid tidak keciciran dalam pembelajaran.
“Pengorbanan mereka yang besar ini jarang didendangkan dan kurang diberikan perhatian berbanding dengan petugas-petugas barisan hadapan yang lain.

“Sebab itulah sehingga hari ini hanya sebilangan kecil guru yang telah mendapat suntikan vaksin,” tambahnya lagi.

Selain itu, Maszlee juga mencadangkan agar guru tidak terlalu dibebani dengan tugasan di luar bidang hakiki mereka, termasuk melakukan kerja-kerja perkeranian serta pengumpulan data murid-murid.

“Mereka sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau PdPR.

“Bagi mengurangkan tekanan kepada guru, perjalanan PdPR seharusnya dilaporkan kepada Pengetua sekolah sahaja.

“Menjadi tanggungjawab Pengetua untuk memberi laporan PDPR sekolah kepada PPD, JPN dan KPM,” tegasnya lagi.

Maszlee berkata, Kementerian seharusnya mempunyai aplikasi pelaporan yang dipermudahkan melalui aplikasi telefon bimbit sama ada yang menggunakan sistem Android mahupun iOS.

Sistem aplikasi itu, katanya lagi, telah cuba dibangunkan melalui Jawatankuasa Dataraya (big data) yang telah dimulakan pada 1 Julai 2019, tetapi telah dimansuhkan selepas pentadbiran kerajaan diambil alih Perikatan Nasional.

“Para guru adalah tonggak pendidikan negara, dan merekalah harapan kita untuk mendidik anak bangsa sekali gus mencorakkan masa depan negara.
“Jika mereka hidup dengan tekanan dan bebanan, hasil kemenjadian murid yang kita mahukan pasti tidak akan dapat dicapai.

“Kembalikanlah kegembiraan dan kasih sayang di kalangan para guru yang pernah mereka kecapi dahulu walaupun singkat, kerana kegembiraan mereka adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/hari-guru-2021-pertimbang-insentif-pdpr-jangan-bebani-guru-dengan-tugas-perkeranian-maszlee-298242