Mangsa banjir Sri Muda kongsi detik cemas lihat mayat ayah sendiri terapung dalam banjir

Mangsa banjir Sri Muda kongsi detik cemas lihat mayat ayah sendiri terapung dalam banjir.Rasa terkilan menyelubungi salah seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini apabila gagal menyelamatkan ahli keluarganya yang lemas dalam tragedi tersebut pada Sabtu.

Mangsa, Nancy Tan Poh Har, 64, ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 19, di sini menceritakan detik cemas cuba menyelamatkan abangnya, Tan Hong Yiap, 76, dan anak saudaranya, Karen Tan Pei Pei, 47.

Menurut Nancy, air yang mula naik dengan cepat sekitar jam 8 malam menyebabkan dia cuba menyelamatkan abangnya yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

“Saya berenang untuk menyelamatkan abang yang sakit, malangnya ketika itu, saya hampir lemas dan saya tak dapat selamatkan dia,” katanya.

Nancy berkata, Karen yang terlihat mayat ayahnya terapung terus menjerit, lantas terjun ke dalam air.

Menurut Nancy, dia kemudiannya cuba menyelamatkan anak saudaranya yang menghidap penyakit skizofrenia itu dengan berpaut kepada sesuatu di dalam rumah.

Katanya, walaupun berjaya menyelamatkan Karen pada awalnya, namun gadis tersebut bertindak terjun semula ke dalam air kerana panik.

Nancy berkata, ketika dia berjaya menyelamatkan Karen buat kali kedua, tiba-tiba dia jatuh pengsan.

“Ketika itu, saya bermimpi ngeri yang mana saya berada dalam air sedang menyelamatkan diri, tapi bila saya terjaga pada pagi Ahad, saya telah berada di atas sebuah kabinet di dapur.

“Bila saya berenang ke luar rumah, saya nampak mayat anak saudara saya terapung. Saya ingat saya dah selamatkan dia, tapi rupanya tidak,” katanya sambil menahan sebak.

Nancy terus ke luar rumah dan berdiri di tempat tinggi di kawasan rumahnya untuk menunggu bot penyelamat datang dari jam 8 pagi sehingga 6 petang.

Ujarnya, ada sebuah kayak datang ke rumahnya pada sekitar 6.30 petang dan membawanya ke tempat lebih selamat.

“Selepas dua jam berusaha keluar dari kawasan tersebut, akhirnya saya dibawa ke PPS SK Seksyen 19, di sini pada sekitar jam 10 malam pada Ahad,” katanya.

Nancy berkata, dia akan pulang ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur setelah selesai mengemas rumah dan mengebumikan mendiang abang dan anak saudaranya.

Nancy yang tinggal di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini sejak tahun 1997 terkejut dengan banjir terburuk melanda kawasan tersebut walaupun bencana itu bukan perkara baharu di lokasi terbabit.

“Selepas ini saya akan kemaskan rumah serta berpindah dari sini dan pulang ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama keluarga.

“Saya nasihatkan orang ramai untuk menyimpan jaket keselamatan di dalam rumah dan bila air naik, segera keluar dari rumah,” katanya.

BACA: 6 bulan moratorium untuk mangsa banjir – Bank Rakyat
Temerloh, Bera, Maran dan Pekan diramal banjir lebih besar
Bekas suami rogol anak 8 tahun depan mata ibunya sendiri di Kelantan

Artikel ini disiarkan pada 22/12/2021