Malaysia gagal capai 3 ciri sebagai negara stabil

Malaysia gagal capai 3 ciri sebagai negara stabil

Malaysia gagal capai 3 ciri sebagai negara stabil. Malaysia berada dalam kritikal apabila kerajaan yang ditugaskan mengelak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dari aspek demokrasi dan institusinya.

Penyelidik Undang-Undang C4 Center, Arief Hamizan mendakwa, perkara tersebut dapat dilihat apabila negara tidak mencapai tiga ciri utama sesebuah negara stabil berdasarkan buku ‘The Origin of Political Order’.

Menurutnya, ia merangkumi kerajaan perlu mempunyai akauntabiliti, peraturan perundangan dan pentadbiran yang moden.

“Negara kita dalam keadaan biasa dan perkara ini sepatutnya boleh dikritik dan diteliti dalam Parlimen dengan harapan boleh diperbaiki untuk kebaikan rakyat.

Malaysia

“Tetapi selama lapan bulan ini, kita tidak mempunyai sebarang peluang yang formal untuk mendapatkan jawapan seperti isu vaksin, prosedur operasi standard (SOP), moratorium dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertukar setiap hari seperti tiada makna,” katanya ketika Forum Ketelusan dan Akauntabiliti dalam Tadbir Urus Covid-19: Bagaimana situasi di Malaysia? secara maya pada Sabtu.

Forum tersebut turut disertai Pengerusi Gerakan Pembebasan Akademik, Azura Nasron; Pengajar Gerak Malaysia, Wan Khuzairey dan Ahli Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Vikram Ragunath bertindak sebagai moderator.

Forum tersebut merupakan anjuran TI-Malaysia dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (Mari), USAID from The American People, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Sinar Rasuah Busters.

Dalam pada itu, Arief berkata, kerajaan yang tiada akauntabiliti seperti kerajaan diktator yang menunjukkan kerajaan itu tidak mahu bertanggungjawab.

Tambahnya, kerajaan hari ini tidak menunjukkan langkah ke arah demokrasi dan pentadbiran yang telus.

“Isu perbelanjaan kerajaan yang paling penting sebab kita lihat hampir dua tahun pembaziran selepas pembaziran terus berlaku.

“C4 Center sendiri pernah mendedahkan klinik persendirian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mempunyai hubungan dengan pembekal Covid-19 kerajaan tetapi tidak diberi jawapan sebaliknya diberi surat Letter of Demand oleh peguamnya.

“Ini menunjukkan bahawa sebelum darurat kerajaan ini memang tidak ingin bertanggungjawab kepada krisis,” ujarnya.

Jelasnya, rakyat jangan putus asa menuntut akauntabiliti daripada kerajaan dengan pelbagai saluran sehingga berlakunya pertukaran kerajaan atau persidangan Parlimen yang mempertahankan prinsip demokrasi yang sebenar.

“Pada masa sekarang kita boleh bersolidariti sesama lain dan jangan takut sebab ini sahaja yang kita boleh buat. Hanya melalui saluran media ini kita akan mendapat akauntabiliti daripada kerajaan, jadi kita jerit lebih kuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Arief berkata, sejak tahun lalu, isu ahli politik lompat parti sering dilaporkan dalam berita yang melibatkan percaturan, pemain yang berlatar belakangkan tuduhan rasuah dan suapan.

Menurutnya, peristiwa langkah Sheraton merupakan titik permulaan kepada pelbagai isu yang timbul pada ketika ini.

“Kita boleh lihat semasa Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu terdapat pelbagai tuduhan bahawa jutaan ringgit ditawarkan kepada sebilangan ahli politik untuk lompat parti dan sampai hari ini tiada penyelesaian daripada isu itu. Ini menunjukkan betapa pentingnya politik wang dalam sistem politik pada hari ini,” katanya.

Selain itu, Arif berkata, menurut artikel C4 bertajuk Political Funding atau Foundation or Donation jelas menunjukkan sebahagian ahli politik menggunakan yayasan untuk politik wang.

“Sistem politik ini tidak telus sama ada kegunaan kempen atau persendirian dan apabila menyiasat kita melihat kes rasuah berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kesemua melibatkan penyalahgunaan yayasan.

“Ini menunjukkan fungsi sistem politik pada hari ini bermula apabila politik wang menjadi kebiasaan pada tahun 1980,” ujarnya.

Jelasnya, yayasan merupakan satu saluran yang menarik kepada parti politik kerana tiada pemantauan terhadap penggunaan dan pentadbiran.

“Penggunaan yayasan sebagai politik wang perlu diperbarukan supaya mengelak berlakunya kronisma, rasuah akan meningkat lebih-lebih lagi pilihan raya umum akan datang nanti,” katanya.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/149254/BERITA/Nasional/Kerajaan-elak-untuk-bertanggungjawab

jika Terlepas: Umno akan terus bersandiwara