Malaysia bukan kategori negara terkesan impak perubahan iklim, kata Menteri

Oleh MHDAILY

Malaysia tidak diundang pada Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim di Amerika Syarikat (AS) pada 22 dan 23 April ini, kerana ia bukan tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Malaysia juga tidak termasuk dalam objektif utama persidangan itu, iaitu menggalakkan negara ekonomi besar yang secara kolektif menyumbang kepada 80 peratus gas rumah hijau (GHG), untuk meningkatkan komitmen mencapai matlamat mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum 1.5 darjah Celcius.

Katanya, terdapat banyak negara yang menyerlah dalam agenda perubahan iklim seperti Sweden, Switzerland dan Thailand tidak dijemput menghadiri persidangan tersebut.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Persidangan tersebut adalah bersifat ‘one-off’ dan tidak menjejaskan rundingan serta ketetapan di bawah Kerangka Kerja Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Hal ini perlu dilihat secara berasingan dengan isu pengimportan sisa plastik ke Malaysia baru-baru ini dari AS,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, terdapat laporan media mendakwa Malaysia tidak tersenarai dalam senarai 40 negara yang dijemput ke persidangan tersebut dan susulan itu timbul dakwaan kononnya Malaysia tidak dijemput kerana negara kini kerap dilihat sebagai tempat pembuangan sisa plastik.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan dasar semasa industri plastik kitar semula adalah dibenarkan mengikut ketetapan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab terhadap hala tuju dan dasar industri itu.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengawal selia dengan pengeluaran permit import (AP) hanya untuk plastik bersih dan seragam, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) berperanan sebagai penguat kuasa memastikan pematuhan kepada Konvensyen Basel.

“Tindakan tegas akan dikenakan tehadap pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena sisa plastik import tersebut ke negara asal menggunakan peruntukan perenggan 31(1)(g) Akta 127 (Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974).

“Pada 2019, sebanyak 124 kontena telah dihantar balik ke negara pengeksport manakala 143 kontena bagi tempoh 2020 hingga Mac 2021. Pada masa ini, terdapat 81 kontena lagi dalam tindakan JAS untuk proses penghantaran balik,” katanya.

Bagi penguatkuasaan kilang haram kitar semula sisa plastik, sehingga kini, jumlah denda bagi kes mahkamah bagi kesalahan itu yang telah selesai mencecah RM1.24 juta.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/569717