Majikan yang berminat beli vaksin untuk pekerja amat dialu-alukan – Dr Mariah

Majikan yang berminat beli vaksin untuk pekerja amat dialu-alukan – Dr Mariah

Kerajaan Selangor menawarkan pembelian vaksin kepada majikan untuk diberi kepada pekerja sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

Exco kesihatan awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, syarikat yang berminat boleh mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Untuk makluman, SELangkah membuka pendaftaran kepada syarikat yang berminat untuk mendapatkan vaksin untuk pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan.

Siti Mariah berkata, maklumat lanjut mengenai aplikasi itu boleh didapati menerusi laman https://vax.selangkah.my

Beliau sebelum itu turut menafikan mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan pemberian 500,000 vaksin Sinovac kepada penduduk negeri ini.

ADUN Seri Serdang itu berkata, kenyataan rasmi mengenai vaksin hanya dikeluarkan Menteri Besar Amiruddin Shari atau melalui pihaknya sahaja selaku EXCO bertanggungjawab.

Beliau turut meminta penduduk negeri ini supaya mendapatkan maklumat yang sahih melalui platform media sosial, sama ada Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari, Facebook Dr Siti Mariah, Facebook Selangor Task Force Covid 19 dan Facebook Media Selangor.

Siti Mariah pada 23 Februari lalu dilaporkan berkata, pekerja berisiko tinggi di Selangor antara kumpulan terawal menerima suntikan vaksin yang dibeli majikan mereka.

Katanya, langkah itu berikutan golongan berkenaan, termasuk bukan warganegara antara yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 di tempat kerja.

Pada 18 Januari, Selangor berhasrat membeli kira-kira 5 juta dos vaksin dan usaha itu disambut baik kerajaan Persekutuan serta kementerian kesihatan malah turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk tujuan itu.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/17/majikan-di-selangor-disaran-beli-vaksin-pekerja-cegah-penularan-covid-19/