Mahkamah : ‘Suapan RM3 juta untuk Zahid Md Arip dan konco-konconya’

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang suapan RM3 juta yang diberikan bekas Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak adalah untuk Muhammad Zahid Md Arip serta kuncu-kuncunya, dan bukannya untuk bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa berkata, Muhammad Zahid yang merupakan bekas pegawai khas politik Mohd Isa, sering berkomunikasi mengenai pemberian wang tersebut dengan bekas Ahli Lembaga GAPSB Ikhwan Zaidel, yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-16.

“Setiap kali pemberian wang itu adalah menerusi Muhammad Zahid. Bagaimana tertuduh (Mohd Isa) hendak terima duit itu, sedangkan kedua-duanya (Muhammad Zahid dan Ikhwan) telah berurusan sesama sendiri tanpa pengetahuan tertuduh, jadi tertuduh tidak tahu mengenai pemberian wang tersebut,” katanya ketika berhujah di akhir kes pembelaan membabitkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Salehuddin berhujah dalam dua pertemuan antara Mohd Isa dan Ikhwan, tidak ada satu pun keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh ada meminta wang suapan itu daripada Ikhwan, bagi membantu meluluskan pembelian MPHS.

“Keterangan Muhammad Zahid (SP21) juga mengesahkan, bahawa Ikhwan tidak menyatakan apa-apa tentang sebarang permintaan oleh tertuduh ketika pertemuan diadakan.

“Ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa kedua-dua pertemuan tersebut bukanlah dirancang oleh tertuduh, malah ia dirancang oleh Muhammad Zahid atas permintaan Ikhwan. Keterangan ini menunjukkan bahawa tertuduh tidak mempunyai kepentingan untuk berjumpa dengan SP16, sama ada bagi tujuan pembelian MPHS mahupun mendapatkan wang suapan,” katanya.

Mengenai isu menyampaikan salam kepada Ikhwan, Salehuddin berkata pendakwaan cuba menunjukkan bahawa permintaan wang kali pertama oleh tertuduh bermula apabila Mohd Isa dikatakan meminta Muhammad Zahid untuk menelefon Ikhwan dan sampaikan salam tanya khabar.

“Permintaan sampaikan salam yang dianggap meminta duit adalah versi pihak pendakwaan semata-mata, takkan kita nak sabitkan tertuduh dengan kesalahan ini (rasuah) berdasarkan keterangan yang tidak ada (minta duit),” katanya.

Salehuddin berkata keterangan Muhammad Zahid bahawa apa yang beliau faham tentang arahan tertuduh adalah bukan sekadar salam biasa, tetapi salam yang mempunyai makna iaitu untuk mendapatkan dana politik adalah tidak munasabah.

“Mohd Isa tidak pernah bercakap untuk meminta duit bagi dana politik di Sarawak. Kenapa tertuduh perlu mengatakan mengenai dana politik, sedangkan dia (Mohd Isa) bukan setiausaha untuk mana-mana parti politik,” katanya.

Berhujah mengenai kredibiliti keterangan Muhammad Zahid di mahkamah, Salehuddin berkata saksi tersebut seorang berkepentingan yang mana beliau mempunyai motif atau alasan, untuk memberikan keterangan yang mengenakan tertuduh semata-mata untuk menyelamatkan diri beliau.

“Muhammad Zahid juga memberi keterangan berbeza, iaitu melibatkan tarikh dan penglibatan yang bercanggah. Keterangan (penyataan saksi) itu amat meragukan dan keterangannya juga di ‘bold’ kan (tebal) seolah-olah sengaja dilakukan oleh saksi itu untuk menekan serta memperbesarkan lagi fakta, bahawa tertuduh yang telah meminta dan menerima wang tersebut,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berhujah, keterangan beberapa saksi pembelaan di dalam kes itu tidak boleh dipercayai.

“Keterangan Zuraida (Zuraida Ariffin @ Shaari bekas setiausaha Mohd Isa) seperti diajar untuk memberi keterangan yang memihak kepada tertuduh (Mohd Isa). Dia juga memberi keterangan bercanggah tentang kedudukan sebenar bilik beliau dan bilik tertuduh,” katanya.

Afzainizam juga berhujah keterangan Zuraida menunjukkan bahawa Muhammad Zahid sebenarnya bebas untuk masuk ke dalam bilik Mohd Isa dan dia tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada sesiapa, serta kehadiran SP21 itu ke dalam bilik tertuduh juga tidak direkodkan oleh Zuraida.

“Keterangan Zuraida menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai rekod sepenuhnya, tentang pihak-pihak yang memasuki bilik tertuduh sepanjang beliau bertugas sebagai setiausaha peribadi kepada Mohd Isa dari tahun 2011 sehingga 2017.

“Keterangan saksi ini sendiri mencukupi untuk menunjukkan bahawa Muhammad Zahid mendapat akses yang senang ke dalam bilik tertuduh. Keterangan ini menunjukkan betapa benarnya keterangan Muhammad Zahid semasa kes pendakwaan di mana beliau menyatakan wang yang beliau terima daripada Ikhwan akan serahkan di bilik Tan Sri dan beliau akan terus masuk ke dalam bilik Tan Sri semasa tertuduh berada di pejabat,” katanya.

Afzainizam berkata berdasarkan kenyataan Zuraida, saksi itu juga menyatakan dia hanya boleh lihat setakat pintu (bilik Mohd Isa) sahaja dan dia juga mengaku bahawa dia tidak nampak apa yang berlaku di dalam bilik tersebut.

“Keterangan ini jelas menunjukkan tindakan Muhammad Zahid menyerahkan wang kepada tertuduh tidak mungkin dapat dilihat oleh Zuraida,” katanya.

Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan, iaitu ahli lembaga GAPSB, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Feb 2021 untuk keputusan sama ada membebaskan atau mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah itu.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/556445?

COMMENTS

Wordpress (0)