Mahfuz dakwa PKR tiada calon isi kekosongan tiga parlimen Johor yang dibawa lari

Oleh MHDAILY

Ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertindak keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak merugikan parti itu, mahupun Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar melihat tindakan tersebut boleh membantu PKR merampas semula tiga kerusi Parlimen Johor yang telah dibawa lari kepada Perikatan Nasional (PN) ketika peristiwa Langkah Sheraton, Februari tahun lalu.

 

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

“Mereka melihat ada peluang dalam PKR untuk mengambil alih tempat-tempat Parlimen yang ditinggalkan dan dibawa lari oleh ahli-ahli Parlimen yang pergi kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

“Kalau di Batu Pahat, ahli Parlimen daripada timbalan speaker yang dulunya adalah PKR kini lari kepada Bersatu.

“Kemudian Segamat sekarang jadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan juga lari kepada PN. Baru semalam dari Tebrau daripada PKR, kini mendokong Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam sesi wawancara bersama MalaysiaGazette, hari ini.

 

Sebelum ini, lima ADUN Amanah termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.

Mereka masing-masing ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Selain tiga ADUN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADUN dari Selangor.

 

Dalam pada itu, Mahfuz percaya bahawa tindakan ketiga-tiga ADUN Johor itu berdasarkan perkiraan politik yang mana PKR tidak mempunyai bakat yang sesuai untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 lalu.

“Mesti ambil daripada orang yang ada nama dan kedudukan, iaitu ADUN. Sebagai ADUN sudah dikenali untuk mudah mempertahankan kerusi-kerusi yang dibawa lari tadi.

“Jadi saya ucap tahniah kepada PKR kerana bersedia untuk memberikan atau mengisi kekosongan kawasan-kawasan Parlimen itu kepada bekas ADUN-ADUN daripada Amanah,” katanya.

Mahfuz juga tidak terkilan malah menyambut baik hasrat ketiga-tiga ADUNnya yang mahu meningkatkan karier politik mereka tidak terhadap di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) semata-mata.

“Jadi ada tiga kekosongan di Johor, jadi mereka merasakan bahawa takkan selama-lamanya nak duduk sebagai ADUN.

“Jadi nak dapat peluang bertanding Parlimen dalam Amanah ini sangat terhad sebab jumlah kerusi yang kita bertanding itu tidak banyak dan tidak boleh beri kepada semua orang,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, Amanah tidak akan menghalang wakil rakyatnya untuk menambah baik masa depan politik mereka, apatah lagi dalam membantu memperkukuhkan rakan komponen PH.

“Saya tak melihat mereka melompat itu kerana tiada keserasian dengan Amanah, salah seorang daripada ADUN yang melompat itu, mereka sedang mencari satu yang lebih baik untuk masa depan politik mereka.

“Mereka merasakan bahawa mereka perlu pergi lebih jauh iaitu sebagai Ahli Parlimen, cita-cita YB Khairuddin itu nak bertanding sebagai calon Parlimen.

“Saya melihat mereka mengejar cita-cita, mereka ada impian, kita harap mereka akan berjaya dalam mencapai cita-cita mereka,” katanya.

Di samping itu, katanya lagi Amanah berpeluang mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan anak-anak muda daripada profesional dan aktivis untuk mengambil alih kerusi DUN yang ditinggalkan oleh ketiga-tiga individu ini.

“DUN ini tidak boleh dipertandingkan oleh parti lain sebab dalam PH itu sudah diperuntukkan kepada Amanah, jadi tanggungjawab Amanah untuk memberikan calon-calon yang baharu ambil alih tempat tersebut,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu juga tidak melihat tindakan lompat parti boleh menjejaskan status quo PH di Johor.

“Perpindahan itu tidak menambahkan jumlah bilangan kerusi DUN PH, sebab dia dalam PH kepada (pindah) PH.

“Dia juga tidak memberikan penambahan kekuatan kepada PN, jadi dia kekal status quo, jumlah sedia ada (ADUN PH) akan kekal sampai pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak melihat ini akan memberikan satu implikasi kesan politik kepada kedudukan kerajaan di Johor itu sendiri,” katanya.

Beliau tidak menafikan tindakan ketiga-tiga wakil rakyatnya itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan kekeliruan dalam kalangan ahli dan pemimpin dalam Amanah dan PH.

“Dalam konteks ini, mungkin PKR tiada pilihan sebab mereka tak dapat cari calon-calon yang baik untuk di ketiga-tiga Parlimen ini.

“Jadi mereka nampak bahawa ADUN Amanah ini yang mempunyai kaliber untuk diketengahkan sebagai calon-calon Parlimen Batu Pahat, Segamat dan Tebrau.

“Jadi soal itu akan dapat kita selesaikan dalam pertemuan dan perbincangan dalam Majlis Presiden PH nanti Insya-Allah,” katanya lagi.

Berita penuh :https://malaysiagazette.com/2021/03/01/pkr-tiada-calon-terbaik-isi-kekosongan-tiga-parlimen-johor-yang-dibawa-lari-mahfuz/