MAHB rekod 2 juta penumpang pada bulan April

MAHB rekod 2 juta penumpang pada bulan April

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan sejumlah dua juta penumpang dalam keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya pada April 2021.

Ia pertumbuhan 1,366.2 peratus berbanding asas rendah pada bulan yang sama tahun lalu ketika sekatan pergerakan menyeluruh dilaksanakan.

Pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing berjumlah 548,000 dan 1.4 juta.

“Jumlah ini dapat dicapai meskipun penutupan berterusan sempadan antara negeri dan antarabangsa di Malaysia, serta penggantungan sempadan bandar antara negeri dan penutupan sementara sempadan kepada penumpang dari sembilan negara di Turki,” katanya.

Sementara itu, pergerakan pesawat meningkat sebanyak 252.5 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing naik sebanyak 222.6 peratus dan 267.1 peratus berbanding April 2020.

Bagi tempoh 12 bulan, rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan penurunan 79.3 peratus kepada 25.2 juta penumpang.

Di dalam negara, lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 630,000 pergerakan penumpang pada April 2021, meningkat 365.5 peratus tahun ke tahun manakala sektor antarabangsa dan domestik masing-masing merekodkan 107,000 dan 523,000 penumpang.

Keseluruhan pergerakan pesawat meningkat sebanyak 114.9 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik naik masing-masing sebanyak 67.2 peratus dan 138.1 peratus tahun ke tahun.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan 224,000 pergerakan penumpang pada April 2021.

Keseluruhan pergerakan pesawat di KLIA meningkat sebanyak 125.6 peratus tahun ke tahun dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik naik masing-masing sebanyak 87.9 peratus dan 295.4 peratus, bagi tempoh yang sama.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, jumlah pergerakan penumpang berjumlah 1.4 juta pada April 2021 dengan sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 441,000 dan 913,000 penumpang.

MAHB berkata, usaha oleh Malaysia dan juga Turki untuk memperkenalkan langkah-langkah tambahan dan diperbaharui bagi membendung peningkatan kes COVID-19 dan ancaman varian baharu mungkin membawa kepada penurunan sementara dalam pemulihan penumpang.

Bagaimanapun katanya, pelancaran program pemberian vaksin yang dirancang bagi tahun ini di Malaysia dan Turki akan mengurangkan impak terbabit serta membuka jalan bagi pemulihan perlahan-lahan.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/05/818537/mahb-catat-dua-juta-penumpang-bulan-lalu