Mahathir jelas suka berdolak-dalik terhadap janji yang disepakati – AMK

Mahathir jelas suka berdolak-dalik terhadap janji yang disepakati – AMK

Kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Tun Dr. Mahathir semasa majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (PENAJA) terhadap YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat tiada yang mengejutkan dan menyerlahkan hakikat keterdesakan politik beliau.

Amat malang apabila majlis yang sepatutnya digunakan oleh YB Tun Dr. Mahathir untuk menerangkan tentang hala tuju partinya, dijadikan sebagai platform untuk menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sikap YB Tun Dr. Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Parti Pejuang itu hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan.

Walhal baru-baru ini Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi keterbukaan beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan Pakatan Harapan serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama.

Tun Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikap beliau yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU-14.

AMK juga merasakan telah tiba masanya untuk Pakatan Harapan ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Tun Dr Mahathir.

PH perlu sedar bahawa penglibatan YB Tun Dr Mahathir yang cuba menunggang jenama grand coalition hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering beliau gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.

Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan KEADILAN dan Pakatan Harapan.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Sumber :