Mageran : Pejuang ajak semua parti agar duduk berbincang satu meja

Oleh MHDAILY

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengajak semua pimpinan sama ada pembangkang atau kerajaan duduk semeja untuk mencari titik persamaan ke arah pembinaan Malaysia baru.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan yang menyifatkan cadangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi penubuhan Majlis Pemulihan Negara adalah semata-mata untuk kepentingan bangsa dan negara.

“Sudah sampai masanya semua pihak tidak kira dari kerajaan mahupun pembangkang harus duduk semeja atas semangat cintakan negara seterusnya bermusyawarah demi mencari satu titik persamaan ke arah membina semula ‘Malaysia baru’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Demi kesejahteraan masa depan bangsa serta negara katanya, semua pihak boleh memberi pendapat ke arah penambahbaikan cadangan Majlis Pemulihan Negara agar ia dapat dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Jelasnya, konsep pelaksanaan Majlis Pemulihan Negara juga berteraskan berkhidmat secara sukarela tanpa gaji kecuali elaun yang tidak akan membebankan negara.

“Pada realitinya juga, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara harus disokong oleh semua pihak agar Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan melimpah perkenan demi kepentingan bangsa mahupun negara.

“Insya-Allah, saya berani menyatakan bahawa cadangan bernas Dr Mahathir merupakan satu formula yang terbaik bagi ‘Selamatkan Malaysia’,” kata Khairuddin.

Terdahulu Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi memperincikan cadangan penubuhan badan pentadbir negara ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dibangkitkannya, baru-baru ini.

Dia menggelar badan itu sebagai Majlis Pemulihan Negara, dan menambah ia bukan bertujuan untuk menggantikan kerajaan.

Sementara itu Khairuddin berkata, keseluruhan rakyat Malaysia harus bersatu hati dan berganding bahu tanpa mengira parti politik bagi menyelamatkan tanah air daripada mengalami kerosakan yang mungkin tidak boleh diperbaiki ataupun penyelesaiannya terpaksa mengambil satu jangka masa yang amat panjang.

Kemungkinannya juga jelasnya, Majlis Pemulihan Negara akan menyediakan landasan ke arah mewujudkan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang bakal dianggotai oleh semua pihak akhirnya bagi sama-sama memikul tanggungjawab membina semula Malaysia baru.

Selain itu, tambahnya pemimpin-pemimpin PH dan Umno tidak harus cepat melatah dan mencemuh kerana cadangan tersebut bukan berteraskan politik untuk menukar kerajaan yang tiada kesudahannya bagi menurunkan ‘suhu politik’ negara.

“Ramai yang telah salah sangka dengan menyatakan bahawa Mahathir menyarankan penubuhan Majlis Pemulihan Negara demi agenda kepentingan politik peribadi beliau. Tuduhan ini amat meleset sama sekali.

“Setakat ini, hanya beliau sahaja yang mencadangkan satu solusi ke arah mencari jalan penyelesaian secara konkrit bagi selamatkan kemelut kesihatan, ekonomi, politik dan sosial yang sedang melanda negara secara amat teruk,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/578783