Tun M harus hentikan usaha memandulkan demokrasi negara, mageran adalah langkah Mahathir untuk kembali berkuasa!
Saya terkilan dengan sidang media yang diadakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh tentang beberapa perkara rentetan dari sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong pada hari ini.
Dalam sidang media yang diadakan pada petang tadi, Tun Mahathir telah mendedahkan tentang usul beliau kepada Tuanku mencadangkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ambil alih pentadbiran Kerajaan dan tawarkan diri sendiri untuk menjadi Ketua.
Di saat rakyat sedang bergelut dengan pandemik covid dan juga ekonomi, cadangan Tun Mahathir untuk membuat MAGERAN (Darurat 2.0) adalah satu langkah ke belakang yang akan membawa kesan buruk kepada Negara. Situasi negara hari ini tidak sama seperti situasi 1969. Apakah kewajaran Tun M cadangkan mageran?
Rata-rata rakyat dan juga pemimpin politik dari parti pembangkang mahupun kerajaan seperti Umno telah menegaskan pendirian mereka untuk mendesak kerajaan menamatkan darurat yang didapati gagal mengekang penularan wabak covid dan hanya membebankan rakyat.
Manakala sebelum ini Tun M sendiri telah berhimpun bersama sekretariat #TamatDarurat di perkarangan Istana Negara dan menghantar memorandum untuk tamat darurat.
Namun tindakan beliau hari ini mencadangkan mageran kepada Tuanku jelas menunjukkan bahawa beliau bersungguh-sungguh untuk kembali berkuasa dengan apa jua cara pun.
Beliau bukan nyanyuk, ini adalah strategi beliau untuk pastikan Kerajaan tidak bertukar khususnya Anwar Ibrahim tidak diangkat sebagai Perdana Menteri.
Tindakan beliau mencadangkan mageran dengan menawarkan diri sebagai pengerusi jelas menunjukkan beliau terdesak untuk kembali berkuasa setelah kerajaan PN gagal teruk.
Tambahan pula tidak sampai 24 jam Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri cadangkan mageran dikuatkuasakan, cadangan yang sama dibawa oleh Tun M. Ini menimbulkan persoalan apakah Tun M berusaha untuk menyelamatkan kerajaan PN ini.
Ianya tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan pintu belakang PN yang berkuasa hari ini adalah hasil tindakan beliau meletakkan jawatan terburu-buru tanpa berbincang dengan pimpinan Pakatan Harapan yang memberikan beliau jawatan Perdana Menteri.
Manakala komen beliau bahawa Anwar Ibrahim gagal mencadangkan sebarang solusi untuk memulihkan negara dari krisis sangat melucukan. Ini bukan kali pertama Tun M cuba perlekeh dan memburukkan imej Anwar Ibrahim.
Ianya diketahui umum bahawa ianya menjadi kebiasaan kepada Tun M untuk terus perlekeh segala usaha Anwar Ibrahim dalam arena politik selama ini. Dendam kesumat beliau tidak pernah terpadam.
Mungkin Tun M gagal mengikuti segala usaha yang dibuat oleh Anwar Ibrahim bagi membebaskan negara dari krisis yang dihadapi. Anwar Ibrahim adalah satu-satunya pemimpin yang terus menyenaraikan langkah-langkah yang harus dibuat oleh Kerajaan berdasarkan data dan sains bagi membebaskan negara dari pandemik ini.
Anwar Ibrahim juga telah mengambil inisiatif untuk meluncurkan Pasca Covid sebagai usaha merangkah “exit strategi”. Gerak kerja dan komitmen beliau untuk membebaskan negara dari pandemik ini telah mendapat pujian dari semua pihak termasuk pakar namum gagal diikuti oleh Tun M.
Tambahan pula, petikan berita melaporkan bahawa Anwar Ibrahim semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong telah menyerahkan dua dokumen penting tentang cara menyelesaikan masalah covid dan juga cara membangun semula ekonomi negara yang kian lumpuh.
Manakala Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang juga telah mengadap Yang di-Pertuan Agong hanya cadang buat Mageran (Darurat 2.0) dan cadangkan diri sendiri sebagai pengerusi! Ini solusi yang dibawah oleh Tun M? Ini adalah strategi untuk kembali berkuasa yang tidak henti mencuba untuk berbuat demikian.
Rakyat sendiri boleh menilai siapa yang gila kuasa sebenarnya. Tun M harus hentikan retorik politik beliau dan harus berehat dari dunia politik. Ini adalah langkah terbaik untuk selamatkan Malaysia dari krisis yang dihadapi.
Saya mohon Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk mengetepikan cadangan yang tidak masuk akal dari Tun M. Demokrasi negara harus dikembalikan dan Parlimen harus bersidang dengan segera bagi menyelamatkan negara dari krisis yang dihadapi. Daulat Tuanku 🙏
“No Mageran, No Tun, No Marjerin to Rakyat!! Enough is Enough!!🙏”
“Tegakkan Keadilan, Selamatkan Malaysia”
Sekian Terima kasih,
Thiban Subbramaniam
Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Sumber: