HEBOH diperkatakan isu rasuah di negara kita sejak dahulu sehingga sekarang. Ia nampaknya seperti sukar hendak selesai. Peliknya dalam banyak kes sebelum ini mereka yang terbabit dengan skandal itu rata-rata orang Melayu.
Sedangkan Islam menegah keras perilaku tersebut. Ibn al-Athir antara lain menyebut: al-Risywah adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan atau hajat dengan cara pujukan.
Al-Risywah merupakan sesuatu yang diberi untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut rasuah dimaksudkan memakan harta orang lain dengan cara yang batil.
Maksudnya wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menyebelahinya.
Berikutan itu pelbagai cadangan dan idea dicernakan bagi menangani isu tersebut. Sebuah akhbar sejak minggu lalu menjaja isu berkenaan.
Isu terbabit berada di kemuncak apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dikatakan turun dua mata tahun lepas.
Manakala dalam kedudukan di peringkat global, Malaysia disebut turun enam anak tangga, yakni berada di kedudukan ke-57. Indeks tersebut dikeluarkan Transparency International.
Apakah maksud semuanya itu. Ia secara jelas memperlihatkan kedudukan Malaysia berada di kelompok yang tidak baik dalam aspek rasuah. Sedangkan pada 2019 Malaysia berada di kedudukan 51 dengan skor 53 terbaik.
Malah ada yang menyifatkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan ketika itu serius mahu menghapuskan rasuah dengan mendakwa pemimpin politik ke mahkamah.
Namun sekarang digambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melantik ramai ahli politik menerajui syarikat berkaitan kerajaan sehingga boleh menjejaskan CPI.
Elemen itu disebut menyebabkan indeks persepsi rasuah di Malaysia jatuh. Namun laporan tersebut tidak pula menyebut tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak melantik pemimpin terbabit kes rasuah, banyak membantu menjernihkan indeks persepsi rasuah.
Sedangkan sebelum ini ada suara-suara mahu mereka disenarai dalam saf kabinet kerajaan PN. Malah ada pihak mencadangkan diwujud jawatan timbalan perdana menteri sebagai formula menyelesaikan kemelut antara Umno dan Bersatu.
Namun sehingga sekarang nampaknya perdana menteri memilih mempertahankan integriti. Biarpun pemimpin utama yang dicadang mengisi kerusi tersebut, belum disabit kesalahan di mahkamah, namun ia boleh memberi persepsi lain.
Setidak-tidaknya dapat mempertahankan mata CPI 2020 supaya tidak turun lagi. Bagaimanapun perdana menteri seperti terpaksa membayar dengan harga tinggi bagi mempertahankan wibawa kerajaan yang ada sekarang.
Ini kerana dalam masa sama, perdana menteri terpaksa berdepan dengan kemelut politik dalaman PN. – HD