Lelaki Syria kongsi pengalaman terkandas di KLIA2 selama 7 bulan

Oleh MHDAILY

Seorang lelaki Syria yang terkandas di klia2 hampir tujuh bulan pada 2018, kini menulis sebuah buku mengenai pengalamannya.

Hassan al-Kontar terkandas di lapangan terbang itu, selepas pegawai enggan membenarkan beliau menaiki pesawat ke Ecuador.

Beliau dilaporkan dicari pihak berkuasa di tanah airnya kerana gagal berkhidmat dalam tentera.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Hassan, yang ketika itu berusia 36 tahun, menceritakan pengalamannya di media sosial, yang kemudiannya menyebabkan sebuah kempen dianjurkan untuk beliau memohon suaka di Kanada.

Menurut CTV News, sejak tiba di Vancouver pada November 2018, Hassan terus menyokong pelarian di seluruh dunia. Kini, beliau ialah penduduk tetap Kanada.

CTV News ialah bahagian berita CTV Television Network di Kanada.

Dalam buku baharunya berjudul “Man at the Airport – How Social Media Saved My Life”, Hassan menceritakan pengalaman dan hidupnya sebagai seorang warga Syria, “haram” dan pelarian.

“Apa yang saya mahu hanyalah sebuah tempat bergelar rumah, dan sebuah tempat untuk bekerja secara sah dan selamat selamanya,” katanya kepada CTV.

Beliau turut menceritakan bagaimana media sosial memainkan peranan dalam hidupnya, yang disifatkannya alat boleh “menyelamatkan nyawa atau senjata pemusnah besar-besaran, terpulang kepada kita untuk menggunakannya.”

“Bagi saya, ia mengubah hidup saya,” katanya.

Hassan sebelum ini berkata, beliau mampu bertahan dengan makanan penerbangan yang disumbangkan dan membersihkan dirinya di tandas ketika terkandas di klia2.

Ketua Pengarah Imigresen ketika itu, Mustafar Ali pada 2018 berkata, beliau akhirnya memutuskan untuk menahan Hassan dan mengeluarkannya daripada lapangan terbang kerana catatannya di media sosial – yang mendapat perhatian media – telah memalukan Malaysia.

Beliau ditahan kerana berada di kawasan larangan tanpa pas pelepasan.

“Kenyataannya di media sosial memalukan Malaysia,” Mustafar dipetik Bernama sebagai berkata.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/27/terkandas-di-klia2-lelaki-syria-bukukan-kisah-hampir-7-bulan/