Lelaki guna berita palsu kematian untuk raih sumbangan RM91,000

Lelaki guna berita palsu kematian untuk raih sumbangan RM91,000.Kakitangan kontrak Petronas di Kompleks Bersepadu Pengerang yang ditahan polis semalam, selepas disyaki menipu dengan menyebarkan berita palsu kematian 14 ahli keluarganya akibat COVID-19, didapati meraih sumbangan berjumlah RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berumur 45 tahun itu pada jam 10 malam tadi, selepas lelaki itu hadir di Balai Polis Bayu Damai, dipercayai ingin membuat laporan penjelasan berhubung sumbangan diterimanya itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek setakat ini dipercayai menerima sumbangan RM91,000 daripada orang ramai yang bersimpati dengan ceritanya itu.

“Hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan derma sejak Jun lalu.

“Suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Lelaki

Terdahulu, Petronas dalam kenyataan menafikan dakwaan seorang individu yang juga kakitangan kontraknya kehilangan 14 ahli keluarga akibat COVID-19 dan dia ditahan polis kerana menipu.

Kenyataan itu dikongsikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman sosial Twitter miliknya, semalam, dan bertitah, pihak atasan menasihati Petronas mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Berdasarkan maklumat yang tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook, lelaki itu mendakwa berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu hingga bulan ini akibat pandemik.

Mesej tular terbabit menyatakan suspek yang mempunyai lapan anak kehilangan isteri dan tiga anaknya pada Jun dan Julai lalu, manakala pada 2 September, lima lagi anaknya bersama ibu, kakak dan abang ipar serta dua anak mereka turut meninggal dunia.

Mesej itu juga turut memuatkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan khairat kematian keluarganya itu.

Perbuatan menyebarkan maklumat palsu menimbulkan kemarahan orang ramai terutama yang prihatin dengan nasib malang dikatakan menimpa lelaki berkenaan.

Hussin berkata, polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum memberi sebarang sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/09/860129/polis-reman-lelaki-sebar-berita-palsu-hingga-raih-sumbangan-rm91000

BACA: Penarikan balik 29 pertuduhan rasuah bekas ahli lembaga pengarah Felda, SPRM tampil beri penjelasan