Lelaki cerita pengalaman ‘makhluk’ depan lif ikut sampai ke apartmen

Oleh MHDAILY

Lelaki cerita pengalaman ‘makhluk’ depan lif ikut sampai ke apartmen.Siapa yang biasa tinggal di rumah sewa ketika zaman belajar atau bujang dahulu, pasti selalu terdengar tentang kisah-kisah menyeramkan. Pendek kata, tidak mustahil sebelum kita dudukinya, ada tragedi lain yang pernah berlaku sebelum itu.

Baru-baru ini, seorang siswa, Firdaus Mohd berkongsi pengalaman seramnya ketika baru sahaja masuk ke rumah sewa di sebuah pangsapuri di Lembah Klang. Tidak perlu tunggu lama, seawal hari pertama lagi dia sudah diganggu makhluk halus.

Dalam kisah benar ini, Firdaus tidak hanya diganggu dalam rumah sahaja. Malah bermula dari tepi jalan menuju ke blok, lif, pintu rumah hinggalah ke dalam rumah sendiri, semua pergerakannya ‘diperhatikan’ oleh makhluk berkenaan.

Mari ikuti perkongsian kisah benar Firdaus di bawah ini. Hati-hati, mungkin anda tidak ‘keseorangan’ membacanya.

Rumah sewa berhantu
Hari pertama

Cuti semester untuk sesi pengajian tahun ini bermula minggu depan. Macam biasa, aku masih sibuk siapkan semua assignment dan juga portfolio untuk diserahkan pada majikan untuk sesi pratikal sebelum menamatkan pengajian sepenuhnya.

Aku bernasib baik kerana diberi peluang oleh pensyarah untuk memilih penempatan pratikal untuk semester akhir ini. Kalau lambat serahkan dokumen dan maklumat majikan hari tu, hmm jawabnya aku kena la ikut sahaja penempatan pratikal yang telah pun ditetapkan oleh pihak universiti.

Bukan tak nak, tapi tak ada la kawan sekelas yang sekepala untuk praktikal bersama nanti. Minggu hadapan aku kena siapkan semua barang-barang sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

Pertama kali menjejakkan kaki ke sana, aku sedikit kekok disamping teruja juga. Iya lah, dari utara ke Kuala Lumpur sudah pasti macam-macam benda aku harus lalui di sana tambah lagi berjauhan dari keluarga.

Setibanya di rumah sewa, aku disambut oleh ketua rumah, iya housemate merangkap bakal roommate juga. Aku memilih untuk hadir lebih awal 2 hari ke sana untuk aku biasakan diri di tempat baru.

Kata ibu, kita kena pandai bawa diri di tempat orang, jangan mudah percaya dan jangan cepat terpengaruh dengan keadaan sekeliling terutamanya yang boleh memberikan kesan yang tak baik pada diri.

cerita

Kisah yang akan aku kongsikan ini, bermula di “Rumah Sewa” yang bakal aku inap selama 6 bulan iaitu untuk 1 semester sebelum aku tamatkan sesi pengajian. Rumah sewa aku ni terletak di Damansara.
Waktu melihat gambar yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp, kelihatan rumah ini agak besar dan cantik. Tapi semua itu hanya indah khabar dari rupa. Keadaan apartment agak tidak terurus dengan kawasan riadah sudah mula terbiar.

Parking kereta yang tiada lampu, serta dipenuhi dengan sampah. Kolam renang yang telah pun ditutup sepenuhnya hanya dipenuhi dengan ranting kayu serta sampah sarap. Keadaanya cukup menyedihkan. Lain yang diharapkan lain pula yang diterima.

Esok pagi merupakan hari pertama aku untuk melaporkan diri di sebuah syarikat yang terkemuka di Kuala Lumpur. Hari-hari yang berlalu tiada apa yang berlaku. Kelihatan semuanya baik-baik sahaja.

Namun demikian, masakan pohon bergoyang kalau tiada anginnya. Malam ini, aku terpaksa pulang agak lewat ke rumah. Banyak kerja yang perlu aku uruskan. Jam menunjukkan tepat pukul 10 malam.

“Arhh kena cepat siap-siap ni, kang nanti MRT habis macam mana nak balik, nak naik bas pun tak tahu nak ambil bas apa, alahai dah lewat-lewat ni banyak pulak kerjanya,” rungut aku sendirian.

Aku cepat-cepat kemaskan beg dan komputer riba sebelum bergegas ke stesen MRT. MRT kelihatan agak lengang dan sunyi. Hanya ditemani suara operator yang akan memaklumkan setiap destinasi yang akan keretapi berhenti.

Setibanya di Stesen MRT Damansara, aku terus dapatkan bas Rapid untuk pulang ke rumah. Perjalanan dari kawasan menunggu bas ke rumah mengambil masa kira-kira 25 minit untuk aku berjalan naik bukit melalui parking kenderaan sebelum tiba di rumah sewa.

Keadaan parking di bahagian bawah agak gelap dan sunyi.

“Alahai, bayar sewa mahal. Tapi keadaan kawasan rumah sewa ni dah macam tempat shooting filem seram,”

Berpeluh-peluh berjalan menaiki bukit dan kawasan parking sebelum tiba di atas. Tiba-tiba terasa seperti ada yang mengekori. Seakan manusia, tapi..samar-samar.

Aku cuba hiraukan perasaan takut. Bukan tak biasa, sudah biasa dengan makhluk ghaib ni, cuma malas nak bertembung kalau dah bertembung, panjang pula kisahnya nanti.

Setibanya di lif block, aku segera menekan tombol lift berulang kali dengan harapan dengan segera pintu lift terbuka. Sebaik pintu lift terbuka, aku segera melangkahkan kaki ke dalam. Belum sempat pintu lift tertutup rapat, aku melihat satu sosok hitam berdiri tepat di hadapan pintu lift.
“Astaghfirullahaladzim.. Astaghfirullahaladzim..Ya Allah, kenapa kau ikut aku..pergi la balik sana..” ucap aku sendirian.

Lift mula bergerak menuju ke tingkat 12. Terasa agak lambat lift bergerak. Kalau boleh nak je aku lari naik tangga apartment ni, tapi apakan daya tingkat 12 kalau nak berlari maunya aku semput dekat tangga. Pintu lift terbuka, aku terus menuju ke rumah. Tercungap-cungap berlari, dengan kunci di beg sandang.

“Ahhh kenapa aku tak ambil kunci ni dari tadi.. ya Allah.. mana kunci ni!”. Aku mula merasa cemas.

Tiba-tiba terdengar bunyi pintu lift terbuka dan tertutup kembali namun tiada orang yang keluar dari ruang legar lift.

“Sreet…sreet…sreet…sreet…” bunyi seperti ada sesuatu yang bergerak seakan mengheret kaki di ruang legar lift.

“Ha ada pun kunci ni, kenapa la waktu-waktu macam ni juga la hang nak hilang pun,”.

Aku terus buka grill dan tombol pintu rumah dengan tergopoh gapah terus masuk kedalam rumah sewa.

“Eh Fir, kau okay ke ni? Dah kenapa cuak sangat muka ni? Kau okay tak?” sapa teman serumah.

Aku tak mampu menjawab apa-apa. Kelu lidah dan terasa lemah badan ketika itu. Aku terus menuju ke bilik mencapai tuala di ampaian dan terus masuk ke kamar mandi. Selesai mandi aku terus baring di katil.

Setiap malam tidur di rumah sewa, aku lebih suka membuka jendela tingkap untuk angin luar masuk. Tapi malam itu, tidak semena mena, kedengaran bunyi burung hantu betul-betul menghadap tingkap bilik.

Untuk makluman, blok yang aku tinggal ini berada betul di atas sebuah bukit dan di belakangnya terdapat hutan tebal. Aku cuba menghiraukan bunyi tersebut dan terus melelapkan mata.

Hari kedua

Malam ini, aku pulang lebih awal. Selesai tugas di pejabat, aku terus pulang ke rumah. Dengan harapan tidak bertemu lagi makhluk semalam. Setibanya di rumah, kelihatan teman serumah masih belum pulang ke rumah, mungkin ada urusan di luar atau sedang menikmati makan malam, biasalah esok hujung minggu.

Aku merebahkan badan di atas sofa sambil menonton TV. Sepertinya tiada apa yang menarik di TV. Mata mula terasa agak letih, beberapa kali juga aku terlelap tapi cuba gagahkan diri untuk menonton siaran TV.

“Knock..knock…knock…knock..”

Tiba-tiba terdengar bunyi ketukan pintu. Aku segera bangun dari sofa mencapai cermin mata di atas meja terus mencapai tombol pintu. Sebaik pintu dibuka, kelihatan tiada siapa di luar.

“Aihh orang balik letih-letih ni ada jela yang nak kacau. Ketuk pintu la apa la..ni mesti kerja budak-budak kat sini ni.”

Aku terus menuju ke dapur mengambil air soya di peti sejuk dan kembali ke sofa.

“Knock…knock…knock…”

Kali ini ketukan pintu lebih kuat seperti mau luruh pintu dibuatnya. Aku segera menuju ke pintu sambil berteriak,

“Jangan main-main boleh tak? Tak reti ke orang letih ke apa ke?”

Aku terus masuk ke bilik dengan perasaan tidak puas hati. Kalau masih ada yang mengetuk pintu di luar aku tekad untuk tidak menghiraukannya lagi. Malas nak dilayan. Kalau dilayan nanti makin menjadi pula.

Aku terus masuk ke kamar mandi untuk membersihkan diri sebelum melelapkan mata. Waktu di dalam tandas, aku terdengar seakan pintu rumah dibuka dan kelihatan ada bayang orang dari bawah pintu bilik air memasuki bilik.

“Aihh lega.. balik juga budak rumah ni. Lewat betul dorang balik hari ini,”

Selesai membersihkan diri, aku terus keluar dari bilik air.

“Afif…afif…lewat kau balik hari ni? Kau keluar pergi makan dulu ke tadi?”

Sambil aku mengeringkan rambut aku menyapa roommate aku. Yang menyeramkan, sebenarnya tiada siapa di bilik. Ya tiada siapa. Tapi masa keluar dari bilik air aku nampak bayang orang dalam bilik mungkin roommate aku. Sebab itu aku sapa dengan penuh yakin.

“Korang, jangan la main-main. Korang dah balik kan? Jangan la buat macam ni, serius tak kelakar jangan main-main boleh tak?”

Tiba-tiba lampu bilik menjadi malap dan berkelip seketika sebelum beralih pula ke lampu tandas dan lampu di ruang tamu. Aku terus naik dan baring ke katil. Kedengaran suara burung hantu di luar bilik betul-betul menghadap tingkap bilik.

Bunyinya makin kuat diselangi pula dengan bunyi seretan seperti orang yang berjalan menyeret sebelah kakinya. Bunyi seretan seolah mula memasuki ruang bilik. Tubuh mula terasa sejuk dan berpeluh-peluh.

Aku segera menarik selimut di katil dan menutup muka dengan harapan aku tidak melihat makhluk itu. Keadaan mula sunyi. Suara burung hantu juga telah hilang dan tidak kedengaran lagi.

Aku cuba menarik selimut ke bawah secara perlahan-lahan. Tiada siapa di pintu bilik. Lampu di ruang tamu masih menyala cuma lampu bilik saja sudah tidak menyala lagi.

Aku cuba bangun perlahan-lahan dan turun dari katil untuk mencapai suis lampu. Belum sempat berbuat apa-apa, kaki kiri aku seolah dipegang sesuatu dari arah tepi katil. Allah…Allah..Aku terkejut dan terpekik di dalam bilik.

Satu sosok seakan wanita yang kepalanya sudah pecah dengan mata tersembul keluar cuba bergerak menyeret kakinya yang patah teruk sambil memandang ke arah aku. Waktu itu terasa nak tercabut jantung. Aku terus bangun dan berlari ke pintu rumah, cuba untuk membuka pintu rumah dan lari keluar.
“Fir..fir..wey..rilex rilex kenapa ni? Wey fir ni aku Afif, Iwan dan Epul ni. Kau kenapa? Kau okay tak?” soal teman serumah.

Waktu aku cuba untuk berlari keluar dari rumah mereka telah pun berada di luar cuba untuk membuka pintu rumah. Peluh mula membasahi muka dan badan. Belum sempat aku nak berkata apa, aku terus jatuh pengsan tidak sedarkan diri. Sedar-sedar dah pun ada di atas katil.

Menurut rakan serumah, pernah juga orang di flat ini yang diganggu namun tidaklah seteruk ini. Kata mereka, dulu ada yang pernah nampak kelibat orang di tingkat atas bangunan serta nampak sosok wanita di parking bahagian bawah. Dan ada juga yang pernah berkongsi cerita yang mereka ternampak kelibat orang yang lalu di dalam rumah sebelum hilang menembusi dinding.

Esok pagi, aku terus telefon ayah di kampung. Aku ceritakan semua yang aku alami kepada ayah. Kata ayah, makhluk ni tahu kalau-kalau kita boleh nampak mereka, dan sekiranya itu terjadi mereka akan ikut kita seperti mau menyatakan sesuatu atau cuba untuk menakutkan kita.

Ayah pesan jangan lupa amalkan Bismillah 5, Ayatul Kursi dan doa Nabi Sulaiman, semoga kita terhindar dari ancaman sihir dan perkara yang tidak baik. Cuma kadang kala aku terfikir kenapa ada yang suka mencari mereka ya?

Sumber: https://siakapkeli.my/2021/09/19/muncul-depan-lif-sampai-ikut-ke-rumah-lelaki-trauma-huni-rumah-flat-berhantu/

BACA: Makkal Sakti bakal diberi kerusi bertanding guna logo BN – Zahid