Matlamat utama perlu dicapai melalui lanjutan dua minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh adalah menurunkan angka Covid-19 kepada kira-kira 2,000 hingga 3,000 sehari, kata bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
“Jika tidak, perlu lanjut dua minggu lagi dan itu bukan petunjuk yang baik,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, kerajaan boleh menamatkan PKP penuh apabila kes harian dicatatkan sekitar 2,000 hingga 3,000 sehari, dan fokus kepada melaksanakan PKP diperketat (PKPD) di lokaliti lebih kecil
“Lebih mudah melaksanakan PKP lebih kecil apabila angka itu dapat dicapai,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan lanjutan dua minggu PKP penuh, bermula 15 hingga 28 Jun.
Hari ini, sebanyak 6,849 kes baharu dengan 84 kematian dicatatkan di seluruh negara.
Lee menggesa kerajaan menerapkan mekanisma yang betul supaya kes tidak kembali melonjak.
“Jika gagal buat ujian, kesan kontak dalam tempoh 24 jam, atau percepat vaksinasi, bilangan kes akan naik mendadak,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk membuat keputusan yang tepat bagi mengelak sekatan penuh atau PKP lagi di masa hadapan.
Persatuan PKS Malaysia baru-baru ini memberi amaran bahawa 50,000 syarikat mungkin gulung tikar jika PKP penuh berlanjutan lebih enam minggu. Akibatnya, 250,000 orang mungkin kehilangan pekerjaan.
Negara melaporkan peningkatan kes Covid-19 sejak minggu kedua Mei selepas pembukaan semula sekolah dan bazar Ramadan.
Lee turut menggesa kerajaan cepat mengenal pasti PKPD di lokaliti lebih kecil untuk mengekang penularan.
“Mari kita berharap kesalahan masa lalu tidak berulang,” katanya.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/11/lanjutan-pkp-penuh-mesti-capai-kes-harian-bawah-3000-kata-bekas-timbalan-menteri/